Hyundai Tucson 2.0 MPi Premium 4WD dilancarkan di pasaran Malaysia
Hyundai Sime Darby Motors telah melancarkan varian Tucson yang keempat iaitu 2.0 MPi Premium 4WD. Berharga RM159,888 (harga atas jalan tanpa insuran), varian terbaru itu didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 50,000 km.
Seperti varian 2.0 MPi Elegance, varian Premium 4WD menggunakan enjin petrol 2.0-liter MPi dengan 155 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm pada 4,000 rpm, dan kotak gear automatik enam kelajuan. Bagaimanapun, ia dipadankan dengan sistem pacuan empat roda yang menyalurkan 100% tork ke roda hadapan semasa pemanduan normal dan sehingga 40% ke roda belakang jika diperlukan.
Lock Mode yang boleh dipilih secara manual membahagikan tork secara sama rata untuk pemanduan ‘off-road’. Sementara itu, ciri Traction Control yang didatangkan dengan sistem tersebut turut membantu menyalurkan tork ke roda hadapan untuk mendapat lebih cengkaman semasa mengambil selekoh.
Ciri-ciri keselesaan baru yang boleh didapati pada varian ini termasuklah lampu hadapan LED berkembar dengan Static Bending Light, sistem pendingin hawa automatik dwi zon, bumbung panoramik dan rak bumbung.
Seperti model Hyundai yang lain, Tucson turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan Vehicle Stability Management (VSM), Hillstart Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC) dan Electric Parking Brake (EPB).
No Comment