Subaru XV serba baharu dilancarkan di Malaysia
TC Subaru, pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia, telah melancarkan Subaru XV serba baharu. Ia merupakan model kedua yang menggunakan Platform Global Subaru yang menjanjikan kurang olengan badan dan lebih keseronokan memandu.
Ditawarkan dalam varian 2.0i dan 2.0i-P, XV dikuasakan oleh enjin ‘boxer’ 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm. Enjin tersebut dikatakan 12 kg lebih ringan berbanding enjin sebelum ini. Kotak gear CVT Lineartronic yang digunakan juga dikatakan 7.8 kg lebih ringan. Ia didatangkan dengan kawalan shift ‘auto-step’ dan mod manual tujuh kelajuan.
Selain daripada sistem pacuan semua roda, XV kini juga dilengkapi dengan X-Mode yang membolehkan kereta itu dipandu di atas permukaan mencabar menerusi kawalan enjin, sistem pacuan semua roda dan brek yang dioptimumkan. Ciri Hill Descent Control pula membuatkan tugas menuruni bukit menjadi lebih mudah.
Penggunaan platform baharu menjadikan XV 70% lebih tegar berbanding model terdahulu, sekaligus mengurangkan getaran untuk pemanduan yang lebih lancar. Nisbah stereng yang lebih cepat dan pusat graviti lebih rendah turut menjadikan XV lebih responsif dan stabil.
Bahagian luaran XV menampilkan gril heksagon yang dipadankan dengan lampu berbentuk C, kemasan hitam di sekeliling badan serta rim aluminium dalam reka bentuk terkini. Di dalam, crossover ini mempunyai skrin sentuh lapan inci yang menawarkan fungsi navigasi dan sambungan telefon pintar.
Keselamatan pasif XV telah dipertingkatkan dengan penggunaan keluli berketegangan tinggi. Ini memberikan peningkatan dari aspek penyerapan tenaga ketika perlanggaran sebanyak 40% berbanding model sedia ada. Tujuh beg udara kini menjadi kelengkapan standard bagi kedua-dua varian.
Selain itu, varian 2.0i-P turut mendapat Steering Responsive Headlights yang berfungsi meningkatkan keterlihatan terutamanya dalam keadaan gelap dengan mengubah cahaya lampu mengikut sudut pusingan roda stereng.
Subaru XV serba baharu boleh didapati dalam enam warna iaitu Sunshine Orange, Dark Blue Pearl, Pure White, Ice Silver Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica. Harga (atas jalan dengan GST, tanpa insurans) bermula dari RM118,819.
No Comment