UMW Toyota Motor serah seunit Camry Hybrid kepada Universiti Teknologi Malaysia
Sempena perayaan Hari Jepun tahun ini, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menyumbang sebuah Toyota Camry Hybrid kepada Universiti Teknologi Malaysia. Ia akan digunakan untuk kajian penyelidikan dan pembangunan teknikal oleh para penyelidik dan pelajar yang mengikuti pengajian di bawah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Majlis penyerahan diadakan pada Hari Jepun 2017 yang turut meraikan 60 tahun Kerjasama Diplomatik Jepun-Malaysia di UTM di Kuala Lumpur. Ia disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato ‘Seri Idris Bin Jusoh, dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Makio Miyagawa.
Turut hadir ialah pegawai tinggi Universiti Teknologi Malaysia yang diketuai oleh YBhg Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, YBhg Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Canselor, pegawai kanan dari pelbagai institusi pendidikan dan pengurusan atasan UMWT.
Untuk menandakan penyerahan sedan itu, Suichi Ishii, Pengarah Eksekutif, UMW Toyota Motor menyampaikan kunci kepada YBhg Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia, yang menerimanya bagi pihak MJIIT, UTM.
Di bawah projek ini, penyelidik dan pelajar akan membangunkan sistem baru untuk teknologi kenderaan masa depan. MJIIT, UTM adalah perintis dan satu-satunya kumpulan penyelidikan dalam bidang kenderaan autonomi di Malaysia yang memberi tumpuan kepada tingkah laku memandu, sistem bantuan pemandu dan kenderaan pemanduan sendiri.
Penyelidikan ini juga mempunyai kerjasama rapat dengan Pusat Penyelidikan Mobiliti Pintar, Universiti Teknologi Pertanian dan Teknologi Tokyo. Kenderaan hibrid adalah calon terbaik untuk projek ini kerana bekalan bateri berkapasiti besar.
No Comment