VIDEO: Jaguar XE SV Project 8 sedan empat pintu paling laju di Nurburgring
Jaguar XE SV Project 8 telah dinobatkan sebagai kereta sedan empat pintu terpantas di Nurburgring Nordschleife dengan catatan masa yang mengagumkan iaitu 7 minit 21.23 saat.
Dipandu oleh pelumba Vincent Radermecker, model itu berjaya mengalahkan pesaingnya dari Itali iaitu Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio yang mencatat masa 7 minit 32 saat pada tahun lalu. Bukan itu sahaja, rekod terbaru ini juga bermakna ia lebih laju berbanding model-model seperti Ferrari 488 GTB, Maserati MC12 dan Lamborghini Aventador.
Dibina berasaskan model XE, Project 8 dikatakan sebagai kenderaan paling ekstrem pernah dihasilkan jenama itu. Ia dikuasakan oleh enjin supercharge 5.0-liter V8 yang menghamburkan 592 hp dan 700 Nm. Kotak gear automatik lapan kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke kedua-dua gandar.
Untuk catatan masa ini, Jaguar menggunakan sebuah prototaip dengan konfigurasi Track Mode yang mempunyai suspensi 15 mm lebih rendah, splitter dan spoiler gentian karbon dalam posisi ‘downforce’ maksimum, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 serta sistem brek seramik karbon. Menurut Jaguar, Project 8 menjana 122 kg ‘downforce’ pada kelajuan 300 km/j, 25% lebih tinggi berbanding pesaing terdekatnya.
Walaupun ditawarkan dengan empat tempat duduk, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pakej Track Pack yang merangkumi dua tempat duduk gentian karbon dan abah-abah keselamatan yang diikat pada besi di bahagian belakang.
Project 8 akan dikeluarkan bermula tahun hadapan dengan harga £149,995 (RM822,303) setiap satu. Pengeluarannya dikatakan terhad kepada 300 unit untuk seluruh dunia.
No Comment