Empat Pengedar PROTON Dinaik Taraf Kepada Pusat 3S & 4S
PROTON hari ini mengadakan majlis menandatangani untuk kumpulan pertama bagi perjanjian Naik taraf Rangkaian Pengedar di Pusat Kecemerlangan PROTON. Majlis diadakan di antara PROTON dan empat pengedar untuk menghargai penambahbaikan cawangan mereka kepada pusat 3S dan 4S. Perjanjian telah ditandatangani antara Encik Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan & Pemasaran, PROTON, bersama Encik Azry Ibrahim, Pengarah, Baiduri Auto Sdn Bhd, Lee Chee Hong, Pengarah Urusan, Bunga Raya Auto Credit Sdn Bhd, Andrew Quek Tze Kean, Pengarah, Setia Gemilang Auto Sdn Bhd dan Dato’ Sri Tee Boon Kee, Pengarah, Vantage Speed Sdn Bhd.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed serta barisan pengurusan kanan PROTON.
PROTON teruja terhadap empat pengedar yang menerima cadangan perniagaan yang ditawarkan oleh PROTON, dan menggalakkan mereka yang lain untuk melakukan perkara yang sama. Cawangan yang telah dinaik taraf akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan penting seperti pejabat jualan, perkhidmatan selepas jualan, jualan alat-alat ganti serta perkhidmatan membaiki dan mengecat. Pelbagai lagi penambahbaikan sedang dilakukan oleh pengedar-pengedar sedia ada PROTON.
Cawangan-cawangan tersebut akan merangkumi penampilan dan persekitaran yang baharu; dan hampir kesemua cawangan akan dinaik taraf daripada pusat 1S/2S. Pusat 3S dan 4S yang telah dinaik taraf membolehkan pengedar menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih cekap dan memberikan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggan.
Penambahbaikan cawangan pengedar, pengubahsuaian dan penempatan semula sedang dilakukan untuk memastikan premis baharu sesuai dengan imej baharu PROTON, dan sebagai persiapan kepada pengedar bagi pengenalan SUV pertama PROTON yang akan datang. Peningkatan dan penambahbaikan cawangan ini adalah selaras dengan pematuhan garis panduan terkini bagi pelan pengembangan perniagaan PROTON.
Memenuhi kehendak pelanggan dari segi jualan dan perkhidmatan
“Sekarang anda tidak perlu pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk membaiki kereta anda. Kami akan memastikan cawangan-cawangan yang dinaik taraf dapat memenuhi semua keperluan jualan dan perkhidmatan, yang dapat menjimatkan masa anda. PROTON bukan sahaja menjual kereta tetapi juga menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan kerana menyediakan pengalaman kelas pertama kepada pelanggan adalah sangat penting kepada Syarikat dan jenama kami,” jelas Dr. Li.
“Pada masa yang sama, kami mahu menjadikan cawangan yang telah dinaik taraf ini untuk kelihatan lebih segar dan moden. Kami mahu anda, para pelanggan kami untuk masuk ke bilik pameran PROTON dan rasa istimewa. Kami juga ingin anda berasa selesa sambil menunggu kereta anda dibaiki atau ketika anda ingin membeli kereta baharu Proton. Ini adalah satu pengalaman baharu yang dijalankan demi kepuasan pelanggan,” tambah Dr. Li.
Sentimen yang diperkatakan oleh para pengedar
“Pengubahsuaian pada cawangan-cawangan kami yang dinaik taraf dijangka akan siap menjelang suku kedua 2018. Pada masa itu, kami akan menyediakan ruangan bilik pameran yang mewah yang mampu memuatkan sebanyak 11 buah kereta, 14 ruangan servis, 10 ruangan membaiki dan mengecat, 30 ruangan parkir pelanggan serta ruangan menunggu yang baharu, agar para pelanggan dapat duduk dan berehat dengan selesa sambil menunggu giliran,” kata Andrew Quek dari Setia Gemilang.
Bagi Bunga Raya Auto Credit, Lee Chee Hong memberitahu bahawa keputusan mereka untuk menaik taraf dari pusat 1S+2S ke pusat 3S adalah berdasarkan keyakinan mereka terhadap jenama PROTON. Beliau menyatakan, “Keputusan untuk menaik taraf adalah berdasarkan keyakinan terhadap pelan masa hadapan dan potensi PROTON. Kami amat percaya bahawa produk PROTON akan menjadi produk yang berkualiti premium dengan kedudukan yang sangat baik di dalam pasaran automotif Malaysia, dan komitmen kami adalah untuk memberikan pengalaman pelanggan yang cemerlang”.
Aref Borhan dari Baiduri Auto menjelaskan bahawa keputusan untuk menaik taraf ke pusat 4S adalah berdasarkan fakta bahawa pusat 1S+2S pada ketika ini adalah tidak mesra pelanggan. “Kebanyakkan pelanggan akan mundar-mandir dan mencari tempat menunggu sementara kereta mereka dibaiki. Tiada tindakan susulan, nasihat dan sokongan yang sepatutnya diberikan kepada pelanggan. Ini menjadi semakin teruk apabila terdapat kelewatan dalam menyelesaikan aduan dan isu-isu sehingga akhirnya memberikan kekecewaan dan kelemahankelemahan ini dapat diselesaikan sekiranya kita mempunyai pusat 4S. Sudah tiba masanya kita meninggalkan masa lalu dan terus bergerak kehadapan”.
Chong Kok Boon dari Vantage Speed menambah, “Dengan pertambahan pada perniagaan kami, kami mendapati bahawa ianya penting untuk menawarkan penyelesaian di bawah satu bumbung kepada para pelanggan. Ini akan meningkatkan keyakinan para pelanggan ketika mereka memutuskan untuk membeli sebuah kereta Proton dan untuk mengekalkan pelaburan tersebut untuk tahun-tahun akan datang. Dengan kepelbagaian perkhidmatan di bawah satu bumbung, kami berhasrat untuk meningkatkan perkhidmatan dan pengalaman cemerlang kepada pelanggan untuk memiliki sebuah kereta Proton”.
Skim sokongan insentif pengedar
PROTON, dalam usaha untuk menyokong Rangkaian Pengedarnya, telah membuka peluang kepada para pengedar untuk melabur dan menaik taraf cawangan mereka ke pusat 3S dan 4S menerusi skim sokongan insentif. Tawaran ini juga terbuka kepada sesiapa yang ingin mengambil bahagian dalam pengedaran baharu PROTON. Skim ini bukan sahaja berdaya saing tetapi ia juga merupakan skim terbaik yang ada di dalam pasaran automotif Malaysia.
“Untuk mengembangkan perniagaan kami, kami memerlukan rakan kongsi yang serius untuk menjual kereta. Kami berada dalam perniagaan ini untuk jangka masa panjang dan kami meletakkan minat yang besar untuk memastikan pelanggan gembira dan berpuas hati. Kami juga faham bahawa untuk berjaya, anda memerlukan cadangan perniagaan dan pada masa yang sama sokongan kewangan, oleh itu, skim sokongan insentif oleh PROTON adalah salah satu cara di pasaran yang ditawarkan kepada mereka yang merancang untuk mengembangkan atau menaik taraf perniagaan pengedar mereka ke pusat 3S dan 4S,” kata Dr Li.
Pengedar PROTON telah bersetuju
Chong Kok Boon berkongsi mengenai kunci kepada perniagaan yang berjaya adalah dengan memberi pelanggan pengalaman yang baik ketika mereka memiliki kereta Proton. Menurutnya, “Dengan program sokongan yang baru dilancarkan ini, para pengedar PROTON yang menaik taraf ke pusat 3S dan 4S akan dapat meningkatkan pemasarannya dengan berkesan untuk terus mengukuhkan jenama dan membina keyakinan pelanggan”.
“Skim sokongan insentif pengedar ini membantu saya dari segi pelaburan. Ia juga baik kerana ia menggalakkan keusahawanan. Ini akan membolehkan kami menjadi lebih kompetitif kerana kami dapat memberikan yang terbaik dari segi jualan dan perkhidmatan kepada pelanggan. Di samping itu, ia membantu memberikan pulangan pelaburan saya,” kata Andrew Quek.
Meletakkan pelanggan di barisan hadapan dalam setiap aspek perniagaan, Aref Borhan berkata, “Ini adalah pelan sokongan yang sangat baik. Skim ini memberi motivasi kepada kami untuk memberikan pengalaman pelanggan kami dengan lebih baik. Sebagai seorang pengedar, saya rasa dihargai kerana PROTON mengiktiraf usaha dan pelaburan yang kami lakukan untuk kerja-kerja mengubahsuai dan menaiktaraf”.
Lee Chee Hong berkata, “Skim sokongan insentif semasa yang ditawarkan oleh PROTON kepada pengedar menunjukkan komitmen perkongsian perniagaan bersama. Sebagai pengedar, kita mempunyai rasa hormat dan komitmen yang sangat baik untuk jenama ini dan PROTON juga telah menunjukkan kepada pengedar untuk saling menghormati dan bekerjasama”.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau halaman Facebook rasmi kami di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi mudah alih rasmi MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.
No Comment