Hyundai Kona dapat lima bintang Euro NCAP
Hyundai Kona yang didedahkan pada pertengahan tahun ini telah menerima penarafan lima bintang daripada organisasi penilaian kenderaan bebas Euro NCAP.
Ini menjadikannya salah satu SUV segmen B paling selamat dengan keputusan yang meyakinkan dalam kesemua empat kategori: penumpang dewasa, penumpang kanak-kanak, pejalan kaki dan bantuan keselamatan.
Untuk memenuhi piawaian keselamatan Eropah yang ketat, Kona dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif dan bantuan pemandu yang dikenali sebagai Hyundai SmartSense.
Ciri Lane Keep Assist (LKA) merupakan penyumbang utama kepada penarafan lima bintang yang diterima. Sistem itu berfungsi dengan memberi amaran kepada pemandu jika ia mengesan sebarang pergerakan bahaya pada kelajuan 60 km/j.
Autonomous Emergency Braking (AEB) pula mengeluarkan amaran dalam situasi kecemasan dan akan membrek secara autonomi jika diperlukan. Menggunakan radar hadapan dan sensor kamera, AEB beroperasi dalam tiga peringkat: memberi amaran melalui visual dan bunyi, mengawal brek dan meminimumkan kerosakan apabila berlaku perlanggaran.
Selain daripada itu, Kona turut menawarkan ciri High-Beam Assist (HBA), Driver Attention Alert (DAA), Blind- Spot Detection (BSD) dan Rear Cross-Traffic Alert (RCCA).
No Comment