Mercedes-Benz CLS generasi ketiga tampil dengan enjin enam silinder
Kali terakhir Mercedes-Benz CLS diberi penambahbaikan secara menyeluruh adalah lima tahun dahulu, jadi kedatangan model terbaru yang ditayangkan di acara Los Angeles Auto Show 2017 ini boleh dikatakan tepat pada masanya.
Kini dalam generasi ketiga, model coupe empat pintu ini mengekalkan reka bentuknya yang rendah namun tampil lebih elegan berbanding model generasi kedua. Di hadapan, bentuk lampu dan gril lebih bersegi membuatkan ia kelihatan lebih lebar manakala lampu belakang baharu memberikannya imej keseluruhan yang lebih kemas.
Bahagian dalaman CLS kelihatan tidak ubah seperti E-Class dengan skrin Widescreen Cockpit yang mempunyai dua paparan bersaiz 12.3 inci, lubang penyaman udara yang diinspirasikan oleh turbin jet dan 64 pilihan lampu ambien. Apa yang menarik, lampu pada lubang penyaman udara akan turut berubah menjadi merah atau biru apabila suhu dinaikkan atau diturunkan.
Buat pertama kalinya juga, CLS didatangkan dengan lima tempat duduk (berbanding empat sebelum ini) dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40.
Antara kelengkapan yang boleh didapati termasuklah Active Brake Assist, Lane Keeping Assist, Attention Assist, Speed Limit Assist dan sistem perlindungan penumpang Pre-Safe dan Pre-Safe Sound. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan Driving Assistance Package yang merangkumi ciri-ciri Active Distance Control Distronic, Active Steering Assist, Active Speed Limit Assist, Active Brake Assist dengan fungsi ‘cross-traffice’, Evasive Steering Assist, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist dan Pre-Safe Plus.
CLS menampilkan barisan enjin enam silinder terkini, didahului dengan enjin petrol 3.0-liter bagi varian CLS 450 4Matic. Menghamburkan 367 hp dan 500 Nm, varian ini dipadankan dengan motor elektrik EQ Boost dan sistem elektrik onboard 48 volt yang berfungsi membantu enjin ketika memecut sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api. Sistem itu turut membekalkan kuasa tambahan sementara sebanyak 22 hp dan 250 Nm.
Selain itu, ia juga boleh didapati dengan enjin diesel dengan 286 hp/600 Nm bagi varian CLS 350d 4Matic dan 340 hp/700 Nm bagi varian CLS 400d 4Matic. Dari segi prestasi, CLS 450 memerlukan 4.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, manakala CLS 350d dan 400d masing-masing melakukannya dalam 5.7 dan 5.0 saat.
No Comment