Peraduan ‘Dream Car Art’ 2018 Toyota dibuka
Peraduan Dream Car Art 2018 Toyota (DCAC) kini dibuka bagi penyertaan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah. Pada 2017, peraduan ini dianjurkan di 79 buah negara seluruh dunia dengan lebih daripada 829,000 penyertaan di bawah tema “Your Dream Car” telah diterima sejak tahun 2013.
Peraduan ini dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan umur iaitu bawah 8 tahun,8 hingga 11 tahun dan 12 hingga 15 tahun. Tiga lukisan paling inovatif dari setiap kategori akan dihantar ke Jepun untuk ke peringkat dunia. Di Malaysia, peraduan ini dijalankan setiap tahun sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh UMW Toyota Motor (UMWT). Peraduan peringkat kebangsaan akan dibuka dari 1 Disember 2017 hingga 20 Februari 2018.
Hadiah pertama bagi peraduan ini di Malaysia ialah sebuah Apple iPad Mini, diikuti dengan sebuah basikal mountain bike untuk hadiah kedua, manakala tempat ketiga akan menerima habuan berupa tiket ke Taman Tema Legoland. Hadiah saguhati lainnya termasuk baucar MPH bagi peraduan Instagram yang memerlukan peserta menggunakan tanda #mydcac2018.
Lukisan oleh sembilan pemenang dari Malaysia akan dihantar ke peraduan peringkat global. Peserta akhir akan dipilih oleh barisan juri yang terkemuka pada pemilihan peringkat global bersama serahan lain dari seluruh dunia. Peserta peringkat akhir bagi DCAC 2018 akan diterbangkan ke Jepun bersama seorang penjaga untuk menghadiri majlis penganugerahan pada Ogos 2018.
Tiket pesawat kelas ekonomi pergi-balik turut akan disediakan, dengan semua perbelanjaan di sana termasuk tempat tinggal akan ditanggung sepenuhnya oleh Toyota Motor Corporation. Di Jepun, pemenang-pemenang akan diberi peluang mengunjungi kilang Toyota dan pendedahan terhadap pelbagai sisi budaya Jepun.
Tiada pembelian atau yuran diperlukan untuk menyertai peraduan ini. Kerja seni yang dihantar wajib dilukis tangan dengan warna dari apa saja medium, termasuk warna air, marker ataupun krayon. Apa juga jenis kertas akan diterima, dan digalakkan dalam saiz A3. Bagaimanapun, saiz maksimum kertas tidak boleh melebihi ukuran 400mm x 550 mm.
Gambar yang dihasilkan dari komputer, potongan serta tampalan kertas tidak akan diterima. Peserta digalakkan untuk menggunakan imajinasi dan kreativiti dalam membayangkan kereta futuristik dengan latar yang menyokong idea berkenaan. Lukisan-lukisan yang dihasilkan dijangka akan dilihat oleh khalayak global dan untuk itu, ia perlu menepati unsur kepelbagaian budaya.
Borang penyertaan boleh didapati di laman web rasmi toyota.com.my. Anak kepada pekerja atau mereka yang ada kaitan dengan UMWT juga digalakkan untuk menyertai peraduan ini.
No Comment