Bilik pameran Genesis Gangnam sediakan pandu uji realiti maya
Genesis, jenama mewah yang bernaung di bawah kumpulan Hyundai, telah membuka bilik pameran terbarunya yang terletak di sekitar kawasan perniagaan Samsung-dong, Gangnam-Gu, di Seoul, Korea Selatan.
Dikenali sebagai Genesis Gangnam, bilik pameran unik ini direka oleh firma seni bina yang terkemuka di dunia iaitu Office for Metropolitan Architecture (OMA) yang diketuai oleh Rem Koolhaas.
Berbeza dengan bilik pameran lain yang menggunakan tingkap kaca, hanya sebahagian kecil bilik pameran ini boleh dilihat dari luar bagi mewujudkan ruang privasi antara pelanggan dan produk.
Genesis Gangnam menampilkan kesemua produk Genesis iaitu G90, G80, G80 Sport serta G70 yang dilancarkan baru-baru ini. Bahan untuk visualisasi dan perbandingan seperti pilihan warna, kayu dan kulit juga disediakan untuk memudahkan pelanggan.
Apa yang paling menarik adalah Launch Bay, sebuah ruang khas di mana pelanggan boleh memandu uji kenderaan secara realiti maya (virtual reality). Sistem tersebut menyediakan lima jenis laluan iaitu Urban Green, Urban Highway, Dynamic, K-Road dan Short Course yang dibangunkan berdasarkan jalan dan lebuh raya sekitar Gangnam.
No Comment