Pelbagai aksi, bintang ternama dan hadiah menanti di Festival Toyota Gazoo Racing hujung minggu ini
Festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) akan berlangsung di Medini City hujung minggu ini dan akan membawakan aksi perlumbaan tanpa henti, aktiviti bersama barisan selebriti terkenal tanah air serta hadiah-hadiah menarik termasuk sebuah Vios Sports Edition untuk dimenangi dalam cabutan bertuah.
Setelah menarik perhatian lebih 50,000 pengunjung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebelum ini, festival TGR kali ini dijangka akan menarik perhatian lebih ramai pengunjung ke Medini City pada 19 dan 20 Januari ini, terutama sekali melalui kehangatan saingan perlumbaan Vios Challenge.
Dengan kejuaraan yang memasuki pertengahan musim dan peluang yang masih terbuka kerana belum ada pemenang yang sudah mengesahkan kedudukan dengan jelas, semua pelumba di dalam ketiga-tiga kategori akan berentap dengan lebih sengit dan bakal menyaksikan beberapa pelumba profesional ternama merebut takhta.
Pengunjung akan dihidangkan dengan perlumbaan hujung minggu yang mengujakan di litar jalanan yang akan menampilkan laluan lurus terpanjang setakat ini serta selekoh tajam, memberikan lebih banyak peluang dan kemungkinan bagi aksi memintas.
Satu kategori yang sudah pasti tidak wajar dilepaskan oleh pengunjung ialah bagi kelas Promotional, di mana barisan pelumba selebriti seperti Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Janna Nick, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee akan bersaing untuk merebut gelaran juara.
Selain daripada penampilan lapan selebriti yang akan berlumba ini, turut menanti ialah aktiviti yang melibatkan artis dan bas jelajah Media Prima dari siri Drama Sangat seperti Nazrief Nazri, Intan Najwa, Adiba Yunos, Aishah Azman, Raja Afiq, Ruhainies, Zie Zainal dan Aliff Yasraff yang akan turut berada di sana untuk bertemu peminat dan mengedarkan cenderahati.
Tidak ketinggalan ialah watak-watak superhero seperti Ejen Ali dan Comot yang turut akan membuat penampilan disepanjang acara ini berlangsung.
Peminat kenderaan-kenderaan Toyota juga boleh mendekati model-model terkini yang turut akan dipamerkan, termasuk Vios 2018 dan yang paling menarik perhatian, C-HR yang juga akan ditampilkan di sana. Sesi pandu uji turut disediakan kepada pengunjung yang berminat.
Selain itu, pengunjung tidak seharusnya ketinggalan untuk menyaksikan pertunjukkan lagak ngeri daripada juara dunia drift dari Jepun, Masato Kawabata dan Drift Samurai Takahiro Imamura yang akan mengambil tempat dengan memandu jentera drift Toyota 86 sebenar.
Selari dengan usaha UMW Toyota Motor untuk mempromosi aktiviti-aktiviti sihat, selamat dan sesuai untuk seisi keluarga, litar lumba akan dibuka selama sejam pada sebelah pagi Sabtu untuk acara berbasikal bagi mereka yang sudah mendaftar, sekaligus memberikan peluang kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam litar berkenaan dalam suasana yang selamat dan terkawal.
Tarikan lain yang menanti ialah kehadiran peniaga-peniaga trak makanan popular terutamanya dari Johor sendiri, seperti Brader Doug, Tacoloco, Salys Streetfood, dan Aromorasa.
No Comment