Porsche Cayenne generasi ketiga buat kemunculan di Malaysia
Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini telah mempertontonkan Porsche Cayenne baharu yang bakal dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini.
Muncul buat pertama kali di Frankfurt Motor Show pada Ogos tahun lalu, model generasi ketiga ini akan ditawarkan dalam versi asas Cayenne dan Cayenne S bagi pasaran Malaysia. Ia adalah 65 kg lebih ringan berbanding model sebelum ini dengan pembinaan platform lebih pintar.
Cayenne menampilkan enjin 3.0-liter V6 turbo dengan 340 hp dari 5,300 hingga 6,400 rpm dan 450 Nm dari 1,340 hingga 5,300 rpm, manakala Cayenne S pula dikuasakan oleh enjin 2.9-liter V6 dwi-turbo yang menghamburkan 440 hp dari 5,700 hingga 6,600 rpm dan 550 Nm dari 1,800 hingga 5,500 rpm.
Dari aspek prestasi, Cayenne memerlukan 6.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dengan kelajuan maksimum 245 km/j. Cayenne S pula melakukan pecutan tersebut dalam 5.2 saat dan mampu memecut sehingga 265 km/j. Untuk prestasi yang lebih mengagumkan, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pakej Sport Chrono.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan transmisi Tiptronic S automatik lapan kelajuan yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda. Casisnya pula terdiri dari sistem Porsche 4D Chassis Control, Porsche Dynamic Chassis Control, suspensi udara tiga kebuk serta kawalan gandar belakang. Selain itu, ia juga boleh didapati dengan Porsche Surface Coated Brake.
Untuk tempahan, pelanggan boleh ke bilik pameran SDAP yang terletak di tiga lokasi iaitu Glenmarie, Sungai Besi dan Pulau Pinang.
No Comment