BMW M4 Convertible Edition 30 Jahre
Pada tahun 1988, BMW M memperkenalkan M3 Convertible buat pertama kali. Model itu bukan sahaja menawarkan pemanduan ‘open-top’ yang mengujakan, malah enjin dan suspensi yang terbukti kemampuannya sama seperti yang terdapat pada model Coupe.
Bagi meneruskan tradisi serta menyambut ulangtahun model tersebut, BMW telah memperkenalkan M4 Convertible Edition 30 Jahre (Edisi 30 Tahun) yang terhad kepada 300 unit sahaja.
Setiap unit didatangkan dengan pakej M Competition yang merangkumi sistem ekzos, suspensi adaptif dengan mod Sport dan tetapan DSC, serta Active M Differential. Selain itu, kuasa enjin 3.0-liter enam silinder juga dinaikkan kepada 450 hp.
Dari segi penampilan, model edisi terhad ini ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Macao Blue Metallic dan Mandarin II uni. Ditambah pula dengan perincian hitam berkilat pada jeriji ‘kidney’, aliran udara sisi serta lencana. Rim 20 inci dalam warna Orbit Grey Matte menjadi pelengkap imej M4 ini.
Selain dari kemasan kulit dan gentian karbon, bahagian dalaman menampilkan tulisan “30 Jahre Edition” pada perehat kepala, pintu dan papan pemuka, serta nombor siri “1/300”.
No Comment