Honda Odyssey Kini Dilengkapi Dengan Teknologi Keselamatan Honda Sensing
Honda Malaysia hari ini memperkenalkan model pertamanya bagi 2018 iaitu Odyssey baharu yang dilengkapi dengan Honda Sensing. Ia merupakan model ketiga yang menampilkan ciri keselamatan canggih itu selepas CR-V dan Accord yang dilancarkan pada tahun lalu.
Honda Sensing pada Odyssey mempunyai enam ciri-ciri iaitu Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM) untu keselamatan serta Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Keep Assist System (LKAS) untuk keselesaan.
Ciri keselamatan MPV ini disempurnakan lagi untuk penampilan luaran mewah yang diserlahkan dengan bampar hadapan baharu, gril hadapan baharu dan rekaan lampu belakang LED yang baharu. Di samping lampu kabus LED, ia menampilkan rim aloi dua tona dengan rekaan baharu bersaiz 17 inci, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan cermin pandangan belakang auto ‘dim’.
Ruang kabin Odyssey baharu juga menerima penambahbaikan yang lebih praktikal. Ini termasuklah perehat tangan yang lebih besar dibahagian pemandu, tempat duduk penumpang kuasa 4-cara, ruang penyimpanan barang tambahan dengan utiliti yang dipertingkatkan.
Tempat duduk Premium Captain lengkap dengan Ottoman yang dipasang pada baris kedua kini didatangkan dengan perehat kepala lebih besar untuk meningkatkan lagi keselesaan dan keseronokan penumpang terutama sewaktu melalui perjalanan yang jauh. Dari segi prestasi, Odyssey Baharu dikuasakan oleh enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan 175 PS dan 225 Nm dan kotak gear CVT.
Odyssey ditawarkan dalam satu varian, 2.4L EXV pada harga RM254,800 tanpa insurans (termasuk GST). Honda Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjual sebanyak 130 unit Odyssey Baharu setahun.
Ia akan didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Platinum Putih Mutiara (Platinum White Pearl) dan Premium Hitam Mutiara (Premium Twinkle Black Pearl) dan Perak Metalik (Super Platinum Metallic). Ia hadir bersama jaminan selama 5 tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km.
No Comment