Kawasaki Z900RS Masuk Pasaran Malaysia
Kawasaki Motors Malaysia menandakan ‘kemasukan semula mereka dalam segmen moden klasik dengan pelancaran Z900RS baharu. Dibangunkan sebagai penghormatan kepada Z1 900, model terbaru itu ditawarkan dalam versi standard dan edisi terhad.
Z900RS menggunakan enjin 948 cc, empat silinder yang sama dengan Z900 namun kuasa yang dihasilkan adalah lebih rendah iaitu 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Menurut Kawasaki, enjin tersebut ditala untuk penghasilan tork yang lebih baik pada julat rendah dan sederhana.
Ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda belakang adalah transmisi enam kelajuan yang dipadankan dengan klac ‘slipper’ yang dapat menghalang tayar belakang dari melantun ketika menurunkan gear.
Dari segi penggayaan, Z900RS menggunakan elemen bulat seperti yang terdapat pada motosikal-motosikal klasik seperti tangki minyak ‘teardrop’ dan lampu hadapan LED. Bahagian ekor dan lampu LED belakang berbentuk bujur pula diinspirasikan oleh model Z1.
Motosikal ini turut dilengkapi dengan speedometer dan tachometer analog serta skrin LCD pelbagai fungsi. Kelengkapan standard lain termasuklah Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan dua mod tunggangan dan ABS.
Bagi casis, rangka trellis ringan digabungkan dengan fork terbalik 41 mm di bahagian hadapan dan suspensi ‘back-link’ di bahagian belakang yang turut digunakan pada model supersport dan supernaked Kawasaki. Mampatan dan lantunan fork tersebut bolel dilaras mengikut cita rasa dan kesesuaian penunggang.
Boleh didapati di kesemua pengedar sah Kawasaki bermula Mac ini, Z900RS dijual pada harga RM67,900 bagi versi standard dan RM69,900 bagi model edisi istimewa.
No Comment