Petronas Tawar Faedah Perlindungan Kemalangan Diri Untuk Pemegang Kad Mesra
Petronas Dagangan Berhad (PDB), Shieldcard Holdings Sdn Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad, mengumumkan kerjasama strategik dengan menawarkan faedah Kemalangan Diri Mesra (Mesra Personal Accident) (PA) eksklusif untuk pemegang kad Mesra.
Faedah ini juga memberikan satu lagi ruang untuk penukaran mata ganjaran Mesra yang mana pemegang kad Mesra boleh menikmati Pelan PA Mesra dengan hanya RM1 (100 mata ganjaran Mesra) sebulan, apabila mereka berbelanja minima RM100 sebulan di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara. Perlindungan 24/7 di seluruh dunia itu memberikan pemegang kad manfaat Bayaran Hospital Harian (Accidental Hospital Income) sebanyak RM50 sehari untuk maksimum 30 hari.
Bagi kes membabitkan kematian atau hilang upaya diri, pemegang kad Mesra yang terbabit dalam kemalangan, keluarga dan waris terdekat mereka layak mendapat pampasan wang tunai sehingga RM25,000 (meningkat sehingga RM50,000 jika kejadian berlaku pada hari cuti am yang diwartakan oleh kerajaan)
Sebagai tambahan, apabila mendaftar dengan Pelan PA Mesra, pemegang kad Mesra secara automatik didaftarkan untuk program AXXESS secara percuma yang mana mata ganjaran AXXESS boleh diperoleh di rangkaian perniagaan mengambil bahagian, yang dapat membantu mengurangkan atau membayar secara penuh premium kenderaan motor tahunan pemegang kad.
Kesemua pemegang kad Mesra akan menerima SMS atau emel daripada Petronas memberitahu mereka akan faedah yang disediakan ini. Pemegang kad yang ingin mendaftar Pelan PA Mesra akan dihubungkan dengan laman sesawang khas untuk tujuan pendaftaran. Pemegang kad yang mendaftar sebelum 28 Februari 2018 akan menerima faedah PA Mesra secara percuma untuk bulan pertama.
Sementara itu, program AXXESS diperkenalkan pada penghujung Mac 2017 dan dioperasikan pada Ogos 2017, bermatlamat meningkatkan daya perbelanjaan harian seseorang dengan menyediakan penyelesaian terhadap kos insurans yang semakin meningkat, terutama sekali peningkatan kos dalam penjagaan kesihatan awam dan ketidaktentuan premium insurans kenderaan motor memandangkan industri ini mula membuat liberalisasi tariff.
“Secara kebetulan PDB adalah antara rakan dagang terawal kami untuk program AXXESS,” kata Pengerusi Eksekutif Shieldcard Holdings Sdn Bhd, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar.
Tambahnya lagi, ZGIMB adalah antara syarikat insurans terawal mengiktiraf potensi program AXXESS dan kami berbangga kerana dapat meningkatkan lagi kerjasama yang dijalinkan dengan membentuk koloborasi tiga pihak bagi membangun dan melanjutkan program ini kepada pemegang kad Mesra, merupakan pertama seumpamanya bagi industri ini.
No Comment