Range Rover Sport PHEV Tiada Masalah Hadapi 99 Selekoh, 999 Anak Tangga
Range Rover Sport PHEV telah menjadi kenderaan pertama yang berjaya tiba di Heaven’s Gate yang terletak di pergunungan Tianmen di China.
Menggunakan varian Range Rover Sport P400e standard yang dipandu oleh pelumba Formula E iaitu Ho-Pin Tung, cabaran bermula dari jalan raya berliku yang dikenali sebagai Dragon’s Road. Berukuran kira-kira 11.3 km, jalan itu mempunyai 99 selekoh tajam dan sebarang kesilapan boleh membawa padah.
Bahagian kedua cabaran itu memerlukan Tung untuk mendaki 999 anak tangga dengan kecuraman 45 darjah. Untuk tugas ini, Tung menggunakan mod Dynamic sistem Terrain Response 2 serta gabungan enjin Ingenium petrol dan motor elektrik yang masing-masing menghamburkan 300 PS dan 116 PS.
Ya, Range Rover mungkin lebih banyak dilihat di pusat membeli-belah, namun kebolehannya untuk menangani permukaan yang mencabar memang tidak dapat dinafikan. Ini bukanlah kali pertama Range Rover Sport melakukan cabaran seumpama ini. Sebelum ini, ia pernah mencatat rekod bagi SUV di cabaran Pikes Peak.
No Comment