Rezvani Beast Alpha X Blackbird Ambil Inspirasi Dari Pesawat
Rezvani mungkin berskala kecil, namun tidak dinafikan rekaan syarikat dari California yang baru empat tahun ditubuhkan itu lain dari yang lain. Jika akhir tahun lalu ia melancarkan SUV berperisai yang dikenali sebagai Tank, Rezvani kini telah memperkenalkan supercar terbarunya iaitu Beast Alpha X Blackbird.
Model ini direka oleh pereka yang sama iaitu Samir Sadikhoz yang mengambil inspirasi dari pesawat Lockheed SR-71 Blackbird. Ia menggunakan rangka dan badan gentian karbon dengan bumbung ‘targa’ dan pintu ‘sidewinder’. Imejnya dilengkapkan dengan rim aloi 18 inci dan perincian berwarna hijau pada fender hadapan dan sisi.
Bahagian kabin Beast Alpha turut menampilkan perincian gentian karbon yang dipadankan dengan kemasan kulit dan Alcantara pada roda stereng. Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuklah kluster instrumen perlumbaan dan unit infotainment dengan ciri Apple CarPlay.
Model ini dijana oleh enjin turbo 2.5-liter yang dibangunkan oleh Cosworth. Dengan 700 hp, jentera seberat 952 kg ini hanya memerlukan 2.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j. Ia didatangkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, namun boleh juga dipesan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Beast Alpha X Blackbird dijual pada harga bermula dari $225,000 (RM876,712). Hanya lima unit akan dihasilkan dan satu daripadanya telah pun diserahkan kepada juara MMA dan pelakon Rampage Jackson.
No Comment