Skoda Vision X Akan Muncul di Geneva Motor Show
Selepas model Kodiaq dan Karoq, Skoda kini sedang bersedia untuk menambah SUV ketiga dalam barisan modelnya. Namun, sebelum ia dilancarkan, pengeluar kereta dari Czech itu terlebih dahulu mendedahkan model konsep Vision X yang bakal muncul di Geneva Motor Show pada Mac ini.
Digelar sebagai ‘urban crossover’, Vision X menampilkan reka bentuk agresif dengan permuka tiga dimensi yang membuatkannya kenderaan yang sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya hidup aktif.
Bahagian luarannya menampilkan warna FlexGreen yang menonjol, ditemani dengan warna Anthracite pada bahagian bumbung yang diperbuat daripada kaca, serta rim 20 aloi bersaiz 20 inci. Harus diingat bahawa Vision X adalah model konsep, jadi besar kemungkinan versi pengeluarannya tidak semenarik ini.
Kabin Vision X pula dilihat ringkas dan kemas dengan paparan infotainment yang luas di tengah-tengah papan pemuka sebagai tarikan utama. Ia juga mempunyai elemen bercahaya yang diperbuat daripada kaca kristal bagi menghasilkan suasana lebih mewah.
Skoda masih belum mengumumkan enjin yang akan digunakan jika Vision X memasuki fasa pengeluaran, namun ia dijangkan menggunakan rangkaian enjin TSI dan TDI seperti yang terdapat pada model kompak sedia ada. Versi hibrid juga bakal dihasilkan, selari dengan strategi 2025 jenama itu.
No Comment