Syarikat Dari India Hasilkan Motosikal Elektrik
Penerimaan terhadap motosikal elektrik masih tidak meluas seperti yang diharapkan. Ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kos yang tinggi, infrastruktur tidak mencukupi serta jarak tunggangan yang pendek. Bagaimanapun, syarikat dari India iaitu Emflux Motors ada jalan penyelesaian tersendiri dan ia dikenali sebagai One.
Dipamerkan di Auto Expo 2018 di New Delhi, One dijana oleh motor induksi AC sejukan cecair yang menghasilkan 50 kW atau 67 hp. Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa tiga saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j.
Bagaimana pula dengan jarak tunggangan? Menurut Emflux, One didatangkan dengan bateri lithium-ion buatan Samsung yang memberikan jarak tunggangan sehingga 200 km. Ini membuatkan ia lebih sesuai digunakan di sekitar kawasan bandar sahaja namun dengan stesen pengecas yang mencukupi, ia mungkin boleh digunakan untuk pengembaraan jarak jauh.
Bateri memerlukan kira-kira tiga jam untuk pengecasan penuh menerusi soket biasa atau 36 minit untuk 80% cas menerusi pengecas Warp. One juga dilengkapi dengan ciri ‘regenerative braking’ yang biasanya terdapat pada kereta hibrid.
Selain itu, terdapat skrin sentuh 7 inci dengan ciri seperti Wifi, navigasi, diagnostik kenderaan serta sambungan motor-ke-motor. Sistem brek adalah buatan Brembo dan merangkumi cakera bersaiz 300 mm di hadapan dan 220 mm di belakang berserta ABS.
Emflux One dijangka akan dijual bermula 2019 dengan harga bawah £7000 (RM38,213). Versi ‘top spec’ dengan badan gentian karbon, suspensi Ohlins dan rim aloi juga akan ditawarkan pada harga £12,000 (RM65,508). Syarikat itu merancang untuk menjual 199 unit di India dan 300 unit bagi pasaran antarabangsa.
No Comment