BMW M2 Edition Black Shadow Rai Kejayaan M2
Dilancarkan pada tahun 2015, BMW M2 terbukti popular di kalangan peminat M di seluruh dunia dengan jualan melebihi 12,000 unit pada tahun lalu. Angka tersebut juga meletakkan M2 sebagai model M paling laku.
Bagi meraikan kejayaan tersebut, BMW telah memperkenalkan M2 Edition Black Shadow yang didatangkan hanya dalam warna Sapphire Black metalik. Warna ini dipadankan dengan kemasan hitam berkilat pada jeriji, kemasan karbon pada cermin sisi serta ekzos berwarna krom hitam.
Imej gelap ala Darth Vader ini dilengkapkan menerusi rim aloi tempaan ‘Y-spoke’ 19 inci berwarna hitam. Sementara itu, angkup brek berwarna biru yang tersembunyi di sebalik rim menghasilkan kontras yang menarik.
Tiada perubahan pada aspek mekanikal M2 Edition Black Shadow, bermakna ia mengekalkan enjin dwiturbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 370 hp dan 465 Nm. Dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat.
Menurut BMW, model ini akan berada di pasaran bermula April 2018. Harga masih belum diumumkan namun ia pasti lebih mahal berbanding versi standard yang dijual pada harga sekitar RM535,000.
No Comment