BMW X2 Kini di Malaysia – RM320,800
BMW Group Malaysia telah melancarkan model crossover terbaru mereka iaitu X2. Ia ditawarkan dalam versi xDrive20i M Sport yang dijual pada harga RM320,800 termasuk jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, program servis berjadual percuma dan jaminan tayar.
Di samping rekaan segar dan bertenaga, X2 turut dilengkapi dengan pakej M Aerodynamics yang merangkumi trim gerbang roda, skirt sisi dan spoiler belakang. Lampu utama dan kabus LED serta rim aloi ringan berukuran 19 inci menjadi pelengkap model ini.
Bahagian kabin pula menampilkan pencahayaan ambien berwarna Orange, Lilac, Mint, Bronze, Blue dan White. Turut disertakan adalah roda stereng pelbagai fungsi, pendingin hawa dwi zon automatik, tempat duduk boleh laras (dengan fungsi memori untuk kerusi pemandu) serta paparan Head-up Display.
Bagi kemudahan pemandu dan penumpang, X2 didatangkan dengan ruang but sebesar 470 liter yang boleh diakses menerusi Comfort Access System. Ruang tersebut boleh diperluaskan sehingga 1,355 liter dengan melipat tempat duduk belakang secara 40/20/40.
X2 ditawarkan dalam warna Galvanic Gold Metallic, Misano Blue Metallic dan Sunset Orange Metallic. Ketiga-tiga warna ini didatangkan dengan kabin berwarna hitam dengan jahitan kelabu. Sementara itu, pelanggan yang memilih warna Black Sapphire Metallic akan mendapat bahagian dalaman berwarna Magma Red dengan jahitan kelabu.
Varian sDrive20i bermakna ia dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang menyalurkan 192 PS dan 280 Nm ke gandar hadapan. Dipadankan dengan transmisi dwi klac automatik tujuh kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.7 saat. Tiga mod pemanduan disediakan iaitu Comfort, Eco Pro dan Sport.
Selain itu, X2 juga menampilkan sistem bantuan pemandu yang merangkumi ciri-ciri seperti Park Assist, Park Distance Control dan kamera undur.
No Comment