Ford Fiesta ST 2019 Lebih Tangkas Dengan Kelengkapan Baharu
Ford telah mengumumkan bahawa Fiesta ST 2019 akan didatangkan dengan pelbagai teknologi baharu yang tidak ditawarkan sebelum ini.
Yang paling menarik perhatian adalah ‘limited slip differential’ (LSD) mekanikal yang kini boleh didapati secara pilihan. Komponen ini dikatakan mampu memberikan lebih cengkaman pada gandar hadapan terutamanya ketika keluar dari selekoh.
Ford juga telah membangunkan spring ‘force vectoring’ pada gandar belakang bagi meningkatkan kestabilan, ketangkasan dan tindak balas kenderaan. Ia bukan sahaja lebih responsif, malah 10 kg lebih ringan berbanding Watt’s linkage yang biasa digunakan.
Buat pertama kalinya juga, Fiesta ST boleh didapati dengan ciri Launch Control. Ciri ini biasanya terdapat pada model-model lebih mahal seperti Ford Focus RS dan Mercedes-AMG A45. Tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Sport dan Track.
Selain itu, antara kelengkapan standard yang ada termasuklah sistem penyahaktif silinder, injap ekzos aktif yang menghasilkan deruman lebih garang serta sistem infotainment SYNC3 dan sistem audion B&O.
Fiesta ST dikuasakan oleh enjin EcoBoost 1.5-liter dengan tiga silinder yang mengeluarkan 200 PS pada 6,000 rpm dan 290 Nm dari 1,600 hingga 4,000 rpm. Ia memerlukan 6.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan mampu mencecah 232 km/j.
No Comment