Jaguar F-Pace SVR Tiba Dengan 550 PS, 680 Nm
Jaguar menjadi pengeluar terbaru untuk menyertai segmen SUV berprestasi tinggi dengan pelancaran F-Pace SVR di New York Auto Show 2018.
Dihasilkan dengan kerjasama Special Vehicle Operations (SVO), jentera ini dikuasakan oleh enjin 5.0-liter supercharged V8 yang menghasilkan 550 PS dan 680 Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 283 km/j.
Selain dari enjin, F-Pace SVR turut menerima naik taraf dari segi aerodinamik dengan air intake yang lebih besar. Ia juga menerima rim tempaan bersaiz 21 inci yang dikatakan 25 mm lebih lebar di belakang. Pelanggan bagaimanapun boleh mendapatkan rim 22 inci yang lebih ringan.
Dari segi pengandalian, sistem suspensi yang lebih keras dan anti-roll bar ( mengurangkan ‘body roll’ sehingga 5 peratus) adalah antara kelengkapan standard yang ditawarkan. Electronic Active Differential (EAD) dan sistem pacuan empat roda memastikan F-Pace SVR sentiasa mendapat cengkaman yang cukup.
Ia juga dilengkapi dengan Variable Valve Active Exhaust System yang bukan sahaja lebih menarik perhatian, malah 6.8 kg lebih ringan berbanding sistem ekzos standard.
Di United Kingdom, F-Pace SVR dijual pada harga £74,835 (RM406,379).
No Comment