Maserati Levante Trofeo Muncul di New York Auto Show
Maserati telah memperkenalkan Levante versi paling berkuasa iaitu Levante Trofeo di acara New York Auto Show 2018 yang kini sedang berlangsung.
SUV itu dilengkapi dengan enjin paling berkuasa pernah digunakan Maserati iaitu enjin 3.8-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 590 hp pada 6,250 rpm dan 730 Nm dari 2,250 hingga 5,000 rpm.
Dipasang oleh Ferrari di Maranello, Itali, enjin tersebut memastikan Levante Trofeo mempunyai tenaga yang mencukup untuk memecut dari 0-100 km/j dalam 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum melebihi 300 km/j.
Pembangunan model ini tidak tertumpu pada bahagian enjin sahaja. Ia juga didatangkan dengan suspensi sport yang ditala khas untuk menampung kuasa yang lebih tinggi, serta mod pemanduan Corsa dengan fungsi Launch Control.
Selain itu, sistem Integrated Vehicle Control (IVC) pula menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan dengan membantu mengelakkan ketidakstabilan kenderaan dan bukannya dengan membetulkan kesilapan pemandu seperti yang dilakukan oleh sistem Program Kestabilan Elektronik (ESP) konvensional.
Model edisi pelancaran yang dipamerkan di New York didatangkan dalam warna Grigio Lava yang dipadankan dengan rim 22 inci dan angkup brek berwarna merah. Bahagian kabin pula menampilkan upholsteri kulit Pieno Fiore berserta lencana khas lengkap dengan nama pemilik pada bahagian papan pemuka. Ia ditawarkan dalam jumlah yang terhad kepada pelanggan di Amerika Syarikat dan Kanada.
No Comment