Porsche Panamera Sport Turismo Masuk Pasaran Malaysia
Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan barisan model Porsche Panamera Sport Turismo yang terdiri daripada tiga varian iaitu Panamera 4 Sport Turismo, Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo dan Panamera Turbo Sport Turismo.
Berbanding Panamera, model Sport Turismo menampilkan ‘tailgate’ lebih luas, ruang kemasukan rendah, ruang simpanan bagasi lebih besar dan konsep tempat duduk 4+1.
Ia juga dilengkapi dengan spoiler adaptif yang dilaraskan dalam tiga sudut berbeza mengikut gaya pemanduan dan mod yang dipilih. Menurut Porsche, ciri ini mampu menghasilkan ‘downforce’ tambahan sebanyak 50 kg pada gandar belakang.
Sport Turismo merupakan Panamera pertama yang mempunyai tiga tempat duduk belakang. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan konfigurasi empat tempat duduk dengan dua tempat duduk individu dengan pelarasan elektronik di belakang.
Ruang simpanan bagasi Panamera Sport Turismo adalah sebesar 520 liter dan boleh meningkat sehingga 1,390 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Varian E-Hybrid yang menempatkan sel bateri di bahagian belakang mempunyai ruang yang lebih kecil iaitu 425 liter (1,295 liter jika tempat duduk belakang dilipat).
Dari segi kuasa, Panamera 4 Sport Turismo dikuasakan oleh enjin turbo 3.0-liter V6 dengan 330 hp dan 450 Nm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 5.3 saat dan kelajuan maksimum adalah 259 km/j. Panamera Turbo Sport Turismo pula dikuasakan oleh enjin 4.0-liter bi-turbo V8 yang menghasilkan 550 hp dan 770 Nm. Ia memecut dari 0-100 km/j dalam 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 304 km/j.
Bagi Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo, ia menampilkan gabungan enjin 2.9-liter V6 bi-turbo dengan elektrik motor yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 462 hp dan 700 Nm. Ini membolehkannya jentera hibrid itu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.6 saat dan mencapai kelajuan 278 km/j.
Kelengkapan standard lain termasuklah Porsche Advanced Cockpit, kawalan gandar belakang, Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC Sport) serta Porsche Traction Management (PTM).
Harga (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans) bermula dari RM990,000 bagi Panamera 4 Sport Turimso, RM1,125,000 bagi Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo dan RM1,940,000 bagi Panamera Turbo Sport Turismo. Ia didatangkan dengan jaminan selama empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma termasuk servis, alat ganti dan buruh.
No Comment