SDAP Memperkenalkan 3 Unit Porsche 911 GT3 Exclusive Manufaktur
Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia, telah memperkenalkan tiga unit Porsche 911 GT3 yang unik yang dihasilkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur.
Bagi anda yang belum tahu, Porsche Exclusive Manufaktur merupakan divisyen yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan custom mengikut citarasa pelanggan. Ia sama seperti Jaguar Land Rover dengan Special Vehicle Operations (SVO) dan McLaren dengan McLaren Special Operations (MSO).
Didatangkan dalam warna Meissen Blue, Signal Green dan Riviera Blue, ketiga-tiga unit menampilkan gabungan bahan berkualiti tinggi seperti pakej kulit dalaman dengan perincian Alcantara. Untuk penampilan lebih sporty, warna Guards Red digunakan pada panel instrumen, tali pinggang keledar dan jam Sport Chrono. Sementara itu, sill pintu dengan pencahayaan dan corong udara mengikut warna badan meningkatkan lagi keeksklusifan 911 GT3 ini.
Diperkenalkan di Malaysia pada akhir tahun lalu, 911 GT3 menampilkan enjin 4.0-liter enam silinder yang menghasilkan 500 hp dan 460 Nm dan kotak gear PDK tujuh kelajuan secara standard. Jentera seberat ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 318 km/j. Versi manual enam kelajuan pula memerlukan 3.9 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j. Ia sedikit lebih laju berbanding versi automatik dengan kelajuan maksimum 320 km/j.
Orang ramai yang berminat boleh melihat 911 GT3 Riviera Blue dengan lebih dekat di Bangsar Shopping Centre dari 29 Mac hingga 1 April ini.
No Comment