Toyota Kemaskini Hilux dan Sienta
UMW Toyota Motor telah mengumumkan bahawa Hilux kini menerima dua varian terbaru dalam versi L-Edition, sementara Sienta kini didatangkan dengan aksesori yang dipertingkatkan serta beberapa ciri tambahan baru. Tempahan bagi kedua-dua model berkenaan juga dibuka bermula hari ini.
Sebagai jawapan kepada maklum balas daripada pelanggan yang inginkan sebuah trak pikap yang premium dan tampil lebih gagah, Hilux L-Edition (L merujuk kepada Luxury’) telah dibangunkan dan kini ditawarkan bagi kedua-dua varian 2.8 liter AT 4×4 dan 2.4 liter AT 4×4.
Membezakan versi L-Edition daripada varian Hilux yang lain ialah penampilan bahagian depannya yang lebih lebar dan agresif, disumbangkan oleh rekaan hexagonal pada gril yang dikelilingi kemasan krom. Bahagian pemijak di belakang juga disertai dengan kemasan warna perak, sementara rim 18-inci lima jejari didatangkan dalam warna dwi-tona — perak dan hitam.
Di ruangan dalam, Hilux L-Edition menggunakan warna hitam sebagai tema, yang turut digabungkan dengan kemasan piano black. Ini Tempat duduk yang disaluti dengan kombinasi kulit pula mempunyai liang udara untuk memberikan keselesaan kepada penumpang. Khusus bagi Hilux 2.8 L-Edition, ia didatangkan dengan meter Optitron dengan pencahayaan latar.
Bagi aspek keselamatan, model L-Edition ini dilengkapi dengan tujuh beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Active Traction Control (A-TRC) dan Hill-start Assist Control (HAC) sebagai ciri standard. Bagi model 2.8 L-Edition, ciri Downhill Assist Control (DAC) ditambah untuk memudahkan pemanduan menuruni laluan curam agar lebih selamat.
Bagi Sienta pula, penawaran model ini bagi tahun 2018 hanyalah di dalam varian 1.5V dan hadir bersama tambahan aksesori dan ciri — tanpa sebarang perubahan harga. MPV kompak ini kini dilengkapi dengan sistem DVD-AVX 6.9-inci yang dinaik taraf, lengkap dengan ciri Bluetooth, HDMI, input kad SD serta kamera undur.
Pelanggan juga boleh menaik taraf kepada sistem DVD-AVN 7-inci yang ditawarkan sebagai pilihan, yang didatangkan dengan GPS yang memuatkan lokasi-lokasi bilik pameran dan pusat servis Toyota di seluruh negara.
Ciri baru Panoramic View Monitor yang juga ditawarkan sebagai pilihan, akan banyak membantu ketika pemandu ingin meletakkan atau mengeluarkan kenderaan diruang parkir. Slot pengecas USB kini turut disediakan pada tempat duduk barisan kedua untuk memudahkan pengguna. Dengan adanya tikar lapik pada ruang barangan di belakang, lantainya juga mendapat perlindungan tambahan. Ia direka khusus untuk meliputi sepenuhnya ruang berkenaan, dan mudah dikeluarkan sekiranya perlu.
Untuk kesenangan pelanggan, semua model-model Toyota didatangkan dengan jaminan 5-tahun dan tanpa had perbatuan (kecuali Hilux dengan perbatuan maksimum 150,000 km). Untuk memberi lebih nilai kepada kenderaan, jaminan itu boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya, selagi tertakluk kepada terma dan syarat.
No Comment