UMW Toyota Motor Panggil Semula 21,000 Unit Vios, Corolla Altis dan Alphard
UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan kempen panggilan semula untuk penggantian modul inflator pada beg udara penumpang hadapan bagi model Vios, Corolla Altis dan Alphard.
Menurut syarikat itu, inflator yang terdedah kepada suhu dan kelembapan tinggi berisiko untuk meletup. Jika ini berlaku, serpihan logam akan menembusi beg udara pada kelajuan tinggi dan ini akan menyebabkan kecederaan atau lebih teruk lagi maut.
Kempen panggilan semula ini melibatkan kira-kira 21,000 unit kenderaan yang dihasilkan dari Januari 2013 hingga Disember 2014. Kempen ini merupakan kesinambungan kepada kempen sebelum ini yang diumumkan oleh Toyota Motor Corporation (TMC).
UMWT kini sedang dalam proses untuk mendapatkan alat ganti dan akan memaklumkan pemilik-pemilik yang terlibat untuk membawa kenderaan mereka ke pusat servis Toyota. Proses penggantian akan mengambil masa selama 1 hingga 3 jam dan semua kos akan ditanggung oleh UMWT.
Pemilik yang terlibat boleh menghubungi Toyota di talian 1800-8-TOYOTA (869682) untuk tindakan lanjut. Selain itu, pelanggan juga boleh melawat toyota.com.my/aftersales-services/special- service-campaigns unutk memeriksa samada kenderaan mereka terlibat atau tidak.
No Comment