BMW X3 Baharu Dilancarkan – RM320,000
BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW X3 baharu yang akan dipasang di dalam negara buat julung kalinya. Ia akan mula menjengah pasaran mulai Rabu, 25 April 2018 melalui pengedar-pengedar BMW yang sah di seluruh negara. Penghantaran pula dijadualkan bermula pada Julai 2018.
Buat pertama kalinya untuk model X, beberapa perincian terbaharu seperti jeriji kidney tiga dimensi serta lampu kabus berbentuk heksagon ditampilkan di bahagian hadapan. Model ini dilengkapi dengan lampu unit LED dengan teknologi High-Beam Assistant untuk menukar lampu hadapan yang utama kepada lampu suluh tinggi secara automatik apabila diperlukan.
Bahagian bawah badan kereta BMW X3 ini pula dilindungi dengan salutan warna kelabu (Frozen Grey) dan kilatan krom selain turut hadir dengan tayar aloi ‘double spoke’ bersaiz 19 inci dalam kemasan Ferric Grey.
Bahagian belakang pula tampil gah dengan lampu LED tiga dimensi, spoiler bumbung dengan rekaan unik, serta muncung ekzos berkembar. Ruangan kargo unit kenderaan ini menawarkan keluasan bonet berkapasiti 550 liter hingga 1,600 liter. Ciri Comfort Access pula akan memudahkan pengguna untuk mengakses dan membuka pintu but kenderaan ini tanpa menggunakan kunci.
Pemandu yang memasuki kenderaan ini akan disambut dengan kerusi sport yang dikemaskan dengan kulit Vernasca serta sulaman kontra, selain dilengkapi dengan pad penyandar sisi dan ruangan bahagian bahu untuk lebih sokongan. Ia dipadankan dengan kemasan kayu Oak gelap dan sulaman Pearl Chrome pada panel instrumen. Terdapat enam warna pencahayaan ambien iaitu oren, ungu, hijau, gangsa, biru, dan putih.
Selain paparan 10.25 inci, ia juga dilengkapi dengan kamera belakang, serta Park Distance Control yang memberikan amaran akustik dan visual (untuk jarak sahaja) sekiranya terdapat halangan di kawasan belakang kenderaan tersebut. Untuk memudahkan pemandu lagi, sistem bantuan parkir ini juga boleh membantu pemandu untuk memarkir kenderaan ini dalam ruangan parkir yang selari dan lateral secara automatik.
X3 baharu dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 liter empat silinder yang menajan 252 hp dan 350 Nm. Dipadankan dengan transmisi 8-kelajuan Steptronic Sport, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksimum 240 km/j. Pemandu boleh mengakses rangkaian variasi konfigurasi menerusi suis standard Driving Experience Control yang menawarkan mod seperti Eco Pro, Comfort, Sport dan Sport+.
X3 baharu ditawarkan dalam warna coklat (Terra Brown), hitam (Black Sapphire), perak (Glacier Silver) dan putih (Alpine White). Ruang kabin pula boleh didapati dalam warna Vernasca Black atau Vernasca Mokka.
Pembeli X3 boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia yang merangkumi:
- Waranti Perbatuan tanpa Had selama 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
- Program Waranti Tayar selama 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis Run Flat Tyre
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
- Aplikasi Mudah Alih BMW Group Loyalty+ – BMW White Card
- Servis Atas Talian oleh BMW
No Comment