Honda Monkey Kembali Dengan Enjin 125cc
Honda Monkey bermula sebagai motosikal mini dengan enjin 50 cc pada tahun 1967. Setelah 50 tahun berada di pasaran, Honda mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran model tersebut atas sebab kesukaran untuk mematuhi piawaian pelepasan dan jualan yang kurang memberangsangkan.
Kini, syarikat itu telah mendedahkan penggantinya yang juga dikenali sebagai Monkey. Bagaimanapun tidak seperti model asal, versi terbaru ini dibina berasaskan model Grom atau MSX 125.
Ia menggunakan enjin yang sama seperti Grom iaitu enjin sejukan udara bersesaran 125 cc silinder tunggal yang menghasilkan 9.3 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm pada 5,250 rpm. Dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.
Dengan tangki bahan api sebesar 5.6 liter, motosikal seberat 107 kg ini dikatakan mempunyai tahap penggunaan bahan api sebanyak 67 km bagi setiap liter.
Selain itu, Monkey turut didatangkan dengan fork terbalik dan brek cakera bersaiz 220 mm di hadapan dan 190 mm di belakang. Apa yang paling menarik adalah penggunaan ABS dengan sistem Inertia Management Unit (IMU) yang bertujuan untuk menghalang tayar belakang daripada terangkat ketika membrek.
Dari segi reka bentuk, Monkey mengekalkan elemen retro yang terdapat pada model sebelum ini seperti lampu bulat (kini LED) dan kemasan krom. Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Banana Yellow, Pearl Nebula Red dan Pearl Shining Black.
No Comment