Kagum Dengan Cawangan Pengedar Geely
Pada awal bulan Mac, seramai 33 orang pengedar Proton telah berpeluang melawat ke salah sebuah cawangan pengedar Geely di Shanghai. Lawatan ini diadakan bagi membolehkan pengedar-pengedar Proton melihat sendiri dan merasai suasana di pusat pengedar Geely dan bagaimana pengalaman ini dapat membantu menawarkan rupa bentuk yang sama bagi cawangan mereka di Malaysia.
Bagi Lum Hon Yoon, dari Gagah Murni Sdn Bhd, “Ia adalah pengalaman yang baik. Kami dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana keadaan cawangan pengedar Geely di sini. Mereka menggunakan setiap ruang yang ada dengan baik sekali. Dan apa yang lebih penting, ia mempunyai ruangan yang berbeza untuk pelanggan berasa selesa, seperti ruangan kopi, ruangan perbincangan, ruangan kanak-kanak dan juga ruangan bacaan”.
“Ini bermakna tempat ini disediakan untuk seluruh keluarga. Ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak mereka mempunyai tempat untuk bermain, atau jika si isteri memerlukan masa untuk membaca, maka dia boleh meluangkan masa di ruangan bacaan, oleh itu pelanggan oleh datang dan melakukan sesuatu agar tidak berasa bosan sambil menunggu kereta mereka diservis,” jelas Lum.
Ruangan-ruangan yang disediakan mempunyai fungsi tersendiri dan kebanyakan pengedar menyukai idea tersebut, serta melihatnya sebagai keperluan bagi sebuah keluarga moden.
“Orang ramai sentiasa sibuk dan pelan mereka untuk menghantar kereta untuk dibaiki selama beberapa jam akan dirasakan seperti sepanjang hari. Dengan ruangan yang disediakan seperti ruangan perbincangan, ini juga boleh berfungsi sebagai lokasi perjumpaan di mana mereka boleh melakukan perbincangan di situ. Selain itu, dengan adanya ruangan kopi, ini bermakna anda tidak perlu pergi ke Starbucks terdekat atau Coffee Bean untuk mendapatkan kopi pagi atau minum petang bagi menceriakan hari anda,” kata Aw Chiew Soon, dari Warna Bestari Sdn Bhd.
Razali Ahmad, dari Erakars Sdn Bhd turut berkongsi pandangan yang sama. “Ruang pameran kelihatan lebih kurang sahaja seperti cawangan-cawangan di Proton. Apa yang membezakannya adalah kawasan menunggu yang luas dan kawasan rehat yang selesa yang kelihatan seperti ruang tamu di rumah anda, yang mana saya dapat merasakan bahawa pelanggan amat menyukainya”.
Bagi beberapa pengedar yang lain, apa yang menarik perhatian mereka ialah pakaian seragam yang segak dan cara profesional mereka menyambut wakil-wakil dari Proton.
“Bagi saya, keluasan ruangan menunggu adalah idea menarik. Lebih-lebih lagi, apa yang mengagumkan saya ialah pakaian seragam mereka. Lelaki dan perempuan semuanya kelihatan begitu segak. Ini juga baik untuk perniagaan. Pelanggan yang masuk akan dapat merasakan keadaan yang bersepadu ketika kakitangan mendekati mereka. Bagi kami, ini adalah salah satu faktor penting untuk menarik pelanggan ke bilik pameran,” jelas Azizulmu’min Mohd Hussein Malim dari Rohamas Corporation Sdn Bhd.
“Tambahan pula, apabila kakitangan bahagian jualan dan perkhidmatan bertutur dan berkelakuan seiring, tidak kira dari segi pakaian seragam atau cara mendekati pelanggan, ia memberikan keyakinan yang lebih kepada para pelanggan, maka menjual produk menjadi lebih mudah, selain pengetahuan produk yang baik,” jelas Azizulmu’min.
No Comment