Lynk & Co – Menepati Gaya Hidup Terkini
Perasaan teruja ketika melangkah masuk ke dalam cawangan pengedar Lynk&Co merupakan antara pengalaman yang dapat dirasai oleh pengedar-pengedar PROTON ketika lawatan ke China baru-baru ini. Jenama ini terletak di bawah naungan Geely untuk menarik pasaran segmen profesional golongan muda. Terletak di Shanghai dan di antara barisan pengedar-pengedar kereta lain, cawangan ini dilihat begitu menonjol.
“Ini merupakan konsep serba baharu bagi sebuah cawangan pengedar. Ianya tidak kelihatan seperti sebuah cawangan pengedar kereta, sebaliknya ia kelihatan seperti sebuah kedai bercitarasa gaya hidup. Di luar bangunan kelihatan begitu menarik dan apabila memasukinya, lebih banyak lagi kejutan yang menanti,” kata Azizulmu’min Mohd Hussain Malim dari Rohamas Corporation Sdn Bhd.
“Perasaannya sama ketika anda melangkah masuk ke dalam sebuah butik di pusat membeli-belah. Ianya bukan hanya semata-mata menjual kereta, tetapi apa yang ada di kedai itu yang ditawarkan kepada pengunjung. Ianya memaparkan gaya hidup yang bakal dibawa apabila memiliki Lynk&Co serta perkaitan manusia dengan jenama itu. Cara ini tentunya berpandangan jauh, menawan dan menyegarkan. Sekiranya konsep ini dibawa ke Malaysia, saya yakin ia akan dapat menarik minat orang ramai,” kata Azizulmu’min.
“Apabila berjalan masuk, terdapat ruangan kopi dengan pelbagai lollipop berwarna-warna diikat riben dan perkataan Lynk&Co terukir di atasnya. Bertentangannya pula adalah kedai barangan di mana terdapat baju, topi dan barangan lain untuk dilihat, atau dibeli sebagai cenderahati. Bukan itu sahaja, juga terdapat ruangan kopi, ruangan kanak-kanak dan ruangan menunggu yang selesa di mana pelanggan boleh berehat dan mengisi masa lapang ketika menunggu kereta mereka diservis,” jelas Azizulmu’min.
Louis Ng Boon Cheng daripada NHL Automobil Sdn Bhd, berkongsi pandangan yang sama.
“Ini adalah strategi perniagaan yang tepat di tempat kerja dan bukan lagi mengenai penjualan kereta semata-mata. Ini semua mengenai konsep jualan dan reka bentuk, dan penciptaan tren dengan memiliki kereta Lynk&Co. Saya benar-benar menantikan konsep yang sama digunapakai di Malaysia,” kata Louis.
Bagi Razali Ahmad, dari Erakars Sdn Bhd, konsep tersebut membawa idea baharu baginya untuk menjual kereta.
“Bilik pameran tersebut membawa perasaan yang berbeza berbanding jenama lain di pasaran. Suasananya santai dan ceria serta sudut digital akan memberikan persepsi berbeza kepada pelanggan, terutamanya ketika mereka melangkah masuk ke bilik pameran. Dengan ruangan menunggu yang lapang dan kafe yang selesa, ini membuatkan pelanggan berasa teruja dan dihargai apabila mereka datang ke sini,” kata Razali.
Tambahan lagi, Razali berkata “Susunan yang ringkas dan susunan kereta yang teratur di ruang pameran juga antara kelebihan mereka. Kanak-kanak akan menyukai suasana di sini dan ruangan yang luas untuk perbincangan juga disediakan untuk orang dewasa menikmati secawan kopi, bersantai dan tidak berasa tergesa-gesa ketika menunggu kereta untuk diservis”.
No Comment