McLaren Tawarkan Pakej Track Pack Untuk 570S Spider
McLaren telah melancarkan pakej Track Pack untuk model 570S Spider. Sebelum ini, pengeluar supercar terkemuka itu menawarkan pakej yang sama untuk 570S Coupe.
Bermula daripada bahagian luaran, Track Pack merangkumi bumbung dalam warna Dark Palladium dan rim aloi 10 jejari yang didatangkan dengan tayar Pirelli P-Zero Corsa. Rim tersebut dikatakan 15 kg lebih ringan berbanding rim asal.
Bahagian dalaman pula menampilkan kerusi yang lebih ringan dan stereng baharu yang dihiasi gabungan gentian karbon dan Alcantara. Gentian karbon turut digunakan pada bahagian panel pintu, paddle shifter serta keliling skrin infotainment.
Pakej Track Pack tidak mengandungi sebarang naik taraf enjin kecuali sistem ekzos Sports Series yang menghasilkan bunyi yang lebih mengancam. Selain itu, sistem telemetri dengan ciri ‘data logging’ turut disertakan untuk mereka yang gemar ke litar lumba.
Kuasa sebanyak 570 hp dan 600 Nm dibekalkan oleh enjin 3.8-liter twin-turbo V8 yang digabungkan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan.
Secara keseluruhan, pakej tersebut mengurangkan berat kenderaan sebanyak 33 kg, iaitu 8 kg lebih banyak berbanding pakej yang sama untuk 570S Coupe.
No Comment