Peugeot 5008 Dilancarkan – RM173,888
Nasim Sdn Bhd telah melancarkan Peugeot 5008 baharu yang kini hadir dalam bentuk SUV dengan tujuh tempat duduk. Ia dijual pada harga RM173,888 (harga atas jalan tanpa insurans).
Seperti 3008, model ini dibina di atas platform EMP2 dengan ukuran panjang 4,641 mm, lebar 1,844 mm dan tinggi 1,640 mm. Ia mempunyai berat 1,385 kg, iaitu 95 kg lebih ringan berbanding versi sebelum ini.
Ruang kabin 5008 menampilkan tujuh tempat duduk dengan dua kerusi tambahan pada barisan ketiga. Kerusi tersebut boleh dilipat sepenuhnya ke dalam lantai but atau dicabut bagi mendapatkan lebih ruang penyimpanan.
Ruang bagasi SUV ini adalah sebesar 1,060 liter dalam konfigurasi tempat duduk dan boleh dibesarkan sehingga 2,042 liter jika tempat duduk barisan kedua dan ketiga dilipat rata. Ia boleh diakses menerusi tailgate automatik yang boleh dibuka dan ditutup melalui pergerakan kaki pada bahagian bawah bampar belakang.
Selain i-Cockpit, kelengkapan lain yang ditawarkan termasuklah skrin sentuh 8 inci dengan ciri MirrorLink, Android Auto dan Apple CarPlay, paparan ‘head-up’ digital bersaiz 12.3 inci dan sistem audio Arkamys 3D. Ia juga dilengkapi dengan butang kunci piano yang mengawal fungsi pendingin hawa, audio, telefon, aplikasi, tetapan dan lampu kecemasan.
Nadi 5008 merupakan enjin turbo 1.6-liter THP yang menghasilkan 165 hp dan 240 Nm. Dengan kotak gear automatik enam kelajuan, ia mempunyai tahap penggunaan bahan api 7.3 liter bagi setiap 100 km dan tahap pelepasan CO2 133 g/km.
Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, Advanced Electronic Stability Program, Hill Assist Descent Control, Advanced Grip Control dengan lima mod pemanduan, Speed Limit Information, Driver Attention Alert dan Lane Departure Warning.
5008 boleh didapati dalam empat warna iaitu Emerald Crystal, Amazonite Grey, Nera Black dan Pearlescent White. Ia didatangkan dengan jaminan selama lima tahun berserta perkhidmatan Peugeot Assistance 24 jam dan akses ke Naza SkyLounge di Terminal Subang Skypark.
No Comment