Renault Captur S-Edition Tampil Dengan Enjin Lebih Berkuasa
Barisan model Renault Captur telah diperkembangkan dengan varian edisi terhad yang dikenali sebagai S-Edition. Varian terbaru dilengkapi dengan enjin TCe 150 yang lebih berkuasa berbanding TCe 120 yang ada sekarang.
Bersesaran 1.4-liter empat silinder, enjin turbo itu menghasilkan 150 hp dan tork puncak sebanyak 250 Nm. Ia boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau Efficient Dual Clutch (EDC).
Captur S-Edition didatangkan dalam warna Iron Blue yang dipadankan dengan bumbung berwarna Etoile Black atau Platine Grey. Selain itu, ia juga mendapat rim aloi Filante bersaiz 17 inci, lencana S-Edition serta pelindung pintu dan skid plate depan dan belakang berwarna Gun Metal Grey.
Bahagian kabin pila dihiasi dengan upholsteri Alcantara dan kulit serta jahitan biru pada perehat tangan, tombol gear dan brek parkir. Antara kelengkapan standard yang ada termasuklah sistem infotainment R-Link Evolution, sensor parkir depan, sisi dan belakang, kamera undur, ciri Easy Park Assist dan Blind Spot Warning.
Pelanggan yang inginkan penampilan berbeza boleh memilih salah satu daripada lapan kombinasi warna dua tona yang ditawarkan, selain daripada ciri-ciri tambahan seperti sistem audio Bose, bumbung suria, pemanas kerusi hadapan dan tayar ganti ‘spacesaver’.
No Comment