SYM Malaysia Perkenal 3 Model Baharu
SYM Malaysia telah memperkembangkan barisan produknya di negara ini dengan pelancaran tiga model terbaru iaitu kapcai VF3i, serta skuter Jet 14 dan Cruisym 250i.
VF3i
Bermula dengan enjin, VF3i dikuasakan oleh enjin 185 cc SOHC silinder tunggal dengan penyejukan cecair, menjadikannya kapcai dengan kapasiti terbesar dalam kategorinya. Enjin tersebut menghasilkan 17.7hp pada 8500 rpm dan menyalurkan kuasanya ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Casis VF3i dipadankan dengan fork depan teleskopik dan penyerap hentakan tunggal dengan gegelung spring teleskopik lembapan minyak di bahagian belakang, manakala sistem brek pula terdiri dari cakera bersaiz 250 mm di depan dan 200 mm di belakang. Tangki bahan api sebesar 7 liter menjadikan model ini sesuai untuk tunggangan jarak jauh.
VF3i dijual pada harga RM7,988 untuk versi standard (merah dan biru) dan RM8,288 untuk versi edisi khas (hitam matte).
Jet 14
Skuter ini dikuasakan oleh enjin 125 cc silinder tunggal dan transmisi CVT yang menghamburkan 10 hp pada 8,500 rpm dan 9.2 Nm pada 7,000 rpm. Ia menggunakan fork teleskopik depan dan suspensi belakang berkembar. Bagi aspek keselamatan, Jet 14 dilengkapi dengan cakera 260 mm di depan dan sistem brek drum di bahagian belakang.
Dari segi reka bentuk, Jet 14 tampil dengan lampu berkembar dan lampu belakang LED dengan kesan 3D. Ia juga dilengkapi dengan cangkuk tersembunyi dan ruang penyimpanan yang boleh memuatkan sebuah topi keledar penuh.
Boleh didapati dalam warna merah, biru dan putih, Jet 14 dijual pada harga RM6,688 tidak termasuk GST.
Cruisym 250i
Selain daripada reka bentuk menarik, Cruisym 250i didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri penjelajahan seperti penghadang angin boleh laras, papan kaki ergonomik dengan sudut 40-45 darjah, serta ruang penyimpanan yang cukup besar untuk memuatkan dua buah topi keledar dan barangan peribadi lain.
Untuk kemudahan penunggang, Cruisym 250i turut dilengkapi dengan kotak sarung tangan, port USB dan pengecas 12V. Lampu LED di hadapan dan belakang pula memberikan model ini penampilan yang agresif.
Harga bagi Cruisym 250i bermula dari RM18,888 untuk versi standard (merah) dan RM19,188 untuk versi edisi khas (kelabu matte dan putih).
No Comment