Ferrari Portofino Masuk Pasaran Malaysia
Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia, telah melancarkan model V8 GT terbaru yang dikenali sebagai Ferrari Portofino di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort baru-baru ini.
Diperkenalkan buat pertama kali di Frankfurt International Motor Show tahun lalu, Portofino hadir sebagai pengganti kepada model California T. Ia menawarkan gabungan elemen kemewahan, versatilit serta keselesaan ketika memandu.
Portofino dikuasakan oleh enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 600 PS pada 7,500 rpm dan 760 Nm dari 3,000 hingga 5,250 rpm – 40 hp lebih tinggi berbanding California T. Dengan kotak gear tujuh kelajuan, ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saatdengan lajuan maksimum 320 km/j.
Enjin tersebut telah diberi peningkatan dalam bentuk omboh dan con-rod baharu, serta sistem intake yang direka semula. Geometri sistem ekzos juga diubah untuk mengurangkan power loss sekaligus meningkatkan tindak balas pendikit. Penghantaran tork pula diuruskan oleh Variable Boost Management bagi menghasilkan pecutan lebih berkuasa dalam semua gear dan penggunaan bahan api lebih rendah pada masa yang sama.
Portofino menampilkan E-Diff (Electronic Rear Differential) generasi ketiga yang disepadukan dengan F1-Trac bagi meningkatkan cengkaman mekanikal dan kawalan kereta. Ia juga dilengkapi dengan stereng kuasa elektrik (EPS) dengan nisbah 7 peratus lebih rendah untuk pengendalian yang lebih responsif tanpa mengorbankan kestabilan. Sistem peredam magnetorheological (SCM-E) juga ditambahbaik dengan gelung pegas berkembar yang mengurangkan ‘body roll’.
Ferrari Portofino dijual pada harga asas RM948,000 tidak termasuk cukai dan pilihan tambahan.
No Comment