Jaguar Sediakan 2 Teksi Berprestasi Tinggi di Nurburgring
Peminat sukan permotoran yang ingin merasakan kehebatan Nurburgring tetapi tidak mempunyai jentera sendiri kini boleh menyewa teksi yang disediakan oleh Jaguar.
Untuk €199 (RM932), anda akan dibawa mengelilingi litar sepanjang 20.83 km itu oleh pemandu profesional untuk satu pusingan. Anda juga akan mengikuti taklimat keselamatan serta sesi pratonton rakaman pusingan tersebut. Tawaran ini terbuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja.
Terdapat dua jentera untuk dipilih iaitu F-Type SVR dan XJR575. Dibangunkan oleh Special Vehicle Operations (SVO), F-Type SVR dikuasakan oleh enjin supercharge 5.0 V8 yang menghasilkan 575 PS dan 700 Nm. Ia memerlukan 3.7 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 321 km/j.
Walaupun menampilkan enjin yang sama, XJR575 adalah lebih perlahan berbanding model coupe tersebut dengan masa pecutan 0-100 km/j 4.4 saat dan kelajuan maksimum yang hanya mencecah 300 km/j. Ia bagaimanapun boleh memuatkan sehingga tiga orang penumpang berbanding F-Type SVR yang hanya boleh memuatkan seorang.
Menururt Jaguar, tawaran ini terbuka sehingga bulan November ini. Tempahan boleh dilakukan di litar Nurburgring atau secara atas talian di sini.
No Comment