Pandu Uji: Nissan Serena S-Hybrid 2018
Jika anda mempunyai keluarga yang besar, anda pastinya memerlukan sebuah kenderaan yang bukan sahaja luas malah cukup praktikal untuk kegunaan seharian. Harga yang mampu milik juga memainkan peranan penting kerana sebagai ketua keluarga, anda sudah tentu perlu berhemah dan berhati-hati dari segi perbelanjaan.
Di sini kami rasakan kenderaan yang paling sesuai adalah Nissan Serena S-Hybrid (C27) yang sempat kami pandu uji ke Pulau Pinang tempoh hari. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Highway Star (RM135,500) dan Premium Highway Star (RM147,500).
Perbezaan antara kedua-dua varian ini adalah pada bahagian kosmetik, di mana Premium Highway Star menampilkan upholsteri kulit berwarna hitam atau perang dan rim 16 inci. Selain itu, ia juga didatangkan dengan kelengkapan tambahan seperti paparan LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bahagian siling, lampu LED kabin, visor tingkap dan filem penapis haba V-Kool.
Walaupun masih kelihatan seperti kotak beroda empat, penampilan Serena telah diperkemaskan dengan lampu LED berkembar di hadapan, lampu LED berbentuk ‘S’ di belakang serta jeriji V-motion yang lebih menonjol. Tiang belakang yang digelapkan pula menghasilkan ilusi ‘bumbung terapung’ yang membuatkan MPV ini kelihatan luas walaupun dilihat dari luar.
Bahagian dalaman pula menampilkan reka bentuk papan pemuka yang dikemaskini. Bagaimanapun, apa yang paling menarik adalah kehadiran stereng ‘flat bottom’ yang selalunya digunakan untuk kereta sport.
Tidak seperti versi terdahulu yang mempunyai lapan tempat duduk, model baharu ini hanya didatangkan dengan tujuh tempat duduk dengan dua kerusi kapten pada barisan tengah. Ia adalah tempat duduk paling selesa di dalam kabin dengan ciri ‘zero gravity’ dan perehat tangan.
Seperti sebelum ini, Serena S-Hybrid mengekalkan gabungan enjin petrol 2.0-liter empat silinder dan transmisi Xtronic CVT, namun kuasa telah dipertingkatkan dari 147 kepada 150 PS. Tork berkurang sebanyak 10 Nm kepada 200 Nm namun ini tidak menjejaskan pecutan kerana enjin dibantu oleh sebuah motor elektrik 48 Nm yang ditugaskan untuk memberi kuasa pecutan tambahan selama satu saat selepas kenderaan mula bergerak.
Bukan itu sahaja, enjin tersebut juga ditambahbaik menerusi penggunaan ‘dual arm tensioner’ yang berfungsi untuk melegakan tekanan ke atas ‘arm belt’ sekaligus mengurangkan kehilangan kuasa dan geseran serta meningkatkan penjimatan bahan api. Ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang, gabungan ini membuktikan bahawa ia mempunyai kuasa dan tork yang cukup untuk membawa empat penumpang dewasa berserta bagasi tanpa sebarang masalah.
Pecutan yang terhasil terutamanya ketika baru mula bergerak tidaklah begitu mengagumkan namun setelah ia mencapai kelajuan sekitar 120 km/j, segalanya terasa lancar dan memuaskan. Ia boleh menjangkaui kelajuan tersebut namun ketika itu ngauman dari enjin dan transmisi serta bunyi angin akan mula meresap masuk ke dalam kabin.
Melihat kepada senarai kelengkapan yang ada, terbukti Serena S-Hybrid memang direka untuk memudahkan pemandu dan penumpang. Antara ciri yang paling kami suka adalah pintu gelongsor kuasa sebelah kiri dan kanan yang boleh dibuka dengan hanya menghayunkan kaki di bahagian bawah pintu tersebut.
MPV ini juga didatangkan dengan pintu belakang (tailgate) yang boleh dibuka sepenuhnya seperti biasa atau separuh jika ia diparkir di kawasan yang sempit. Ciri unik ini juga boleh membolehkan penumpang mencapai bagasi masing-masing tanpa menjatuhkan barangan yang lain.
Selain itu, keselesaan penumpang juga terjamin dengan adanya corong pendingin hawa bagi tempat duduk barisan kedua dan ketiga. Pemandu tidak perlu bersusah payah untuk menyesuaikan tahap suhu untuk penumpang belakang kerana mereka boleh melakukannya sendiri menerusi panel kawalan pada bahagian siling.
Anak-anak yang mempunyai telefon pintar masing-masing juga tidak perlu berebut untuk mengecas gajet masing-masing kerana Serena S-Hybrid kini menampilkan tujuh port USB. Bukan itu sahaja, mereka yang suka makan di dalam kereta juga akan menyukai MPV ini kerana terdapat dua meja kecil lipat dan 10 pemegang cawan kesemuanya.
Bagi pemandu pula, tugas mereka dipermudahkan dengan teknologi seperti kamera pandangan 360 darjah (i-AVM) serta i-MOD yang mengesan dan member amaran tentang sebarang objek yang bergerak di sekeliling kereta. Bukan itu sahaja, ciri Driver Attention Alert pula mengesan jika pemandu berada dalam keadaan mengantuk menerusi corak pemanduan.
Aspek keselamatan turut diberi peningkatan dengan enam beg udara berbanding dua pada model terdahulu. Selain itu, ciri Vehicle Dynamic Control (VDC), Hill-Start Assist (HSA), Traction Control System (TCS), ABS dengan Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA) dan cagak Isofix turut disertakan.
Jadi, adakah ini MPV yang terbaik di pasaran? Sudah tentu tidak kerana ada beberapa model MPV di luar sana yang lebih sedap dipandu selain lebih mewah dan lengkap, namun harganya pula boleh dikatakan tidak masuk akal. Dengan harga kurang RM150,000, tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa Serena S-Hybrid mempunyai nilai pembelian terbaik setelah dibandingkan dengan ciri-ciri dan kelengkapan yang ditawarkan.
No Comment