Perodua Sumbang Peralatan dan Rai Pesakit Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah
Satu pasukan sukarelawan Perodua telah mengadakan lawatan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah pada hari Jumaat lalu, membawa hadiah untuk pesakit kanak-kanak serta peralatan dan bekalan untuk hospital itu bersempena dengan perayaan Kaamatan dan untuk menyambut bulan suci Ramadan.
Peralatan dan bekalan yang disumbangkan oleh Perodua terdiri daripada dua set pisau laryngoscope lurus Miller 3 dengan pemegang yang bernilai RM1,800 setiap satu, serta 40 buah bantal dengan pelindung PVC.
“Kami ingin mengiktiraf dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah yang tidak mementingkan diri sendiri untuk perkhidmatan mereka kepada rakyat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Bukan itu sahaja, kira-kira 250 pesakit kanak-kanak di hospital itu juga menerima menerima sumbangan berupa set permainan Lego dan barangan lain.
“Perodua mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada semua yang merayakannya,” tambah Datuk (Dr) Aminar lagi.
Di semenanjung pula, Perodua baru-baru ini kembali ke Rumah Kanak-kanak Shan di Perai, Pulau Pinang dengan 10 orang sukarelawan dari pengedar-pengedar di Pulau Pinang dan Kedah. Kali ini, Perodua mengatur kelas pembuatan roti untuk 19 penghuni rumah tersebut, selain membantu membersihkan rumah dan menyampaikan mainan.
Syarikat itu pertama kali melawat Rumah Kanak-kanak Shan pada malam sambutan Deepavali tahun lalu, enyumbang lebih RM20,000 dalam bentuk barangan dan wang tunai dan mengumumkan komitmennya untuk program Tanggungjawab Korporat selama tiga tahun dengan rumah tersebut.
“Ada begitu banyak cara untuk membantu anak-anak ini. Bantuan barangan dan wang tunai dialu-alukan, tetapi kedua-duanya adalah terhad. Dengan melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti pendidikan seperti ini, kami berharap dapat melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan memberi manfaat kepada mereka sepanjang hayat,” kata Datuk (Dr) Aminar.
No Comment