Sistem Infotainment Volvo Akan Tampil Dengan Perkhidmatan Google
Volvo telah mengumumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Google untuk membenam (embed) pelbagai ciri perkhidmatannya ke dalam sistem infotainment Sensus generasi seterusnya.
Antara perkhidmatan yang akan disediakan termasuklah Google Assistant, Google Play Store serta Google Maps. Google Assistant merupakan sistem kawalan suara yang membolehkan pemandu mengawal pelbagai fungsi kenderaan seperti pendingin hawa, radio dan sebagainya tanpa perlu mengalihkan tumpuan ketika memandu.
Selain itu, Google Maps menyediakan data trafik masa sebenar serta peta yang terkini bagi memastikan pemandu sentiasa maklum mengenai situasi lalu lintas semasa. Memandangkan Sensus akan menggunakan sistem operasi Android, aplikasi baharu dan kemas kini perisian akan tersedia secara langsung di Google Play Store dan boleh digunakan secara automatik.
Menurut Volvo, sistem pertama akan dilancarkan dalam masa dua tahun dari sekarang. Walaupun mempunyai usahasama dengan Google, pengeluar kenderaan dari Sweden itu juga membangunkan aplikasi dan perisiannya yang tersendiri.
No Comment