Pandu Uji: Honda Jazz Sport Hybrid
Antara perkara pertama yang akan terlintas di fikiran apabila bercakap tentang kereta hibrid adalah kos pemilikan dan penyelenggaraan yang lebih mahal berbanding kereta enjin pembakaran dalam.
Tanggapan seperti ini mungkin benar 10 tahun lalu apabila Honda Malaysia melancarkan Civic Hybrid yang dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding varian biasa. Bagaimanapun, keadaan telah banyak berubah dan kereta hibrid kini boleh dianggap sebagai mampu milik.
Ini boleh dilihat pada model Jazz Sport Hybrid dan City Sport Hybrid yang dilancarkan pada tahun lalu dengan harga kurang dari RM90,000, menjadikan kedua-duanya kereta hibrid paling murah di Malaysia setakat ini.
Kemasukan model-model ini boleh dilihat sebagai satu langkah yang bijak oleh Honda Malaysia yang secara tidak langsung membuka segmen hibrid kepada golongan pembeli lebih muda dan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap teknologi hibrid.
Jika model hibrid keluaran Honda sebelum ini menggunakan sistem Integrated Motor Assist (IMA), duo terbaru ini menampilkan teknologi Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) yang terdiri dari enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC dan sebuah motor elektrik.
Gabungan kedua-dua elemen ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 135 hp dan 170 Nm. Jika dibandingkan, jumlah ini tidak jauh berbeza dengan Civic 1.8 yang mempunyai 139 hp dan 174 Nm. Kuasa yang terhasil disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.
Berdasarkan pengalaman memandu uji Jazz Sport Hybrid selama beberapa hari, penulis mendapati ia mempunyai karakter pemanduan yang mengujakan, sesuatu yang jarang dikatakan tentang kereta hibrid. Dari segi kuasa, model ini boleh dikatakan cukup bertenaga dan mampu membawa sehingga lima orang penumpang dengan bagasi tanpa sebarang masalah.
Bateri lithium-ion yang terletak di bawah lantai but membolehkan Jazz ini dipandu dengan kuasa elektrik sahaja untuk beberapa ketika selepas kenderaan mula bergerak. Selepas ia melepasi kelajuan tertentu, enjin akan dihidupkan dan seterusnya membantu kenderaan melakukan pecutan. Anda mungkin tidak sedar bila enjin mula digunakan kerana proses ini dilakukan secara senyap dan lancar.
Di lebuh raya, enjin akan dikerahkan sepenuhnya jika kereta dipandu pada kelajuan tinggi dan hanya akan dibantu oleh motor elektrik jika anda sedang ‘cruising’ pada kelajuan sederhana. Selain mod Normal dan Eco, mod Sport turut disediakan sekiranya anda inginkan tindak balas pendikit dan transmisi yang lebih responsif.
Honda Malaysia mengatakan bahawa Jazz Sport Hybrid mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 25 km bagi setiap liter. Bagaimanapun, dengan pemanduan yang sedikit agresif, penulis mencatat kira-kira 20 km setiap liter selepas memandu dari Kuala Lumpur ke Kemaman menerusi Lebuhraya Pantai Timur baru-baru ini. Apabila dicampur dengan pemanduan dalam bandar, nombor tersebut jatuh ke 18 km setiap liter.
Biarpun lebih berat sebanyak 77 kg berbanding varian petrol, pengendalian Jazz Sport Hybrid nyata tidak mengecewakan dengan adanya ‘performance rod’ yang terletak pada gandar belakang dan suspensi yang ditala semula untuk menampung lebihan berat tersebut. Ia juga menerima rak stereng lebih laju untuk tindak balas yang lebih baik.
Selain itu, ciri baharu yang terdapat pada model ini adalah servo elektrik pada sistem brek yang ditugaskan untuk penjanaan semula tenaga. Penggunaan sistem ini bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap brek malah membuatkan penulis berasa lebih yakin untuk menekan pedal brek.
Apa yang kurang pada Jazz Sport Hybrid adalah ketiadaan ‘paddle shifter’ seperti yang terdapat pada City Sport Hybrid. Anda hanya boleh mengoperasikan transmisi menerusi tombol gear yang mempunyai reka bentuk yang unik. Ia tidaklah begitu sukar digunakan dan penulis sendiri hanya mengambil masa beberapa jam untuk membiasakan diri dengan tombol gear ini.
Dari segi praktikaliti, model ini masih setara dengan varian petrol dengan adanya tempat duduk Ultra yang boleh digunakan dalam beberapa konfigurasi. Bagaimanapun, penggunaan bateri lithium ion menyebabkan ruang but mengecil sebanyak 49 liter kepada 314 liter, manakala tayar ganti digantikan dengan kit baik pulih tayar sementara yang hanya boleh digunakan untuk kerosakan kecil.
Soal penyelenggaraan sistem hibrid, pelanggan tidak perlu gusar kerana bateri yang digunakan adalah tahan lasak. Ia juga didatangkan dengan jaminan selama lapan tahun dan sekiranya ia rosak dan perlu digantikan (sesuatu yang jarang berlaku, menurut Honda) selepas tamat tempoh jaminan, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM5,513 dan bukannya berbelas-belas ribu seperti yang digembar-gemburkan.
Sudah tentu, soal mampu milik atau tidak adalah subjektif namun jika dilihat semula, tidak banyak model hibrid sebenar yang didatangkan dengan harga yang menarik seperti ini. Selain dari penjimatan minyak, prestasi dan praktikaliti, anda juga sebenarnya membayar untuk kenderaan yang diibangunkan secara terperinci dan diuji dengan menyeluruh.
Spesifikasi Honda Jazz Sport Hybrid
Enjin: DOHC i-VTEC
Kapasiti: 1,496 cc
Kuasa: 135 hp
Tork: 170 Nm
Transmisi: dwi-klac automatik tujuh kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM80,091 (GST 0%)
No Comment