BMW Concept X7 iPerformance Buat Kemunculan di Malaysia
BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW Concept X7 iPerformance buat julung kalinya bukan sahaja di Malaysia, malah juga di rantau Asia Tenggara.
Kenderaan konsep ini merupakan sebuah demonstrasi bagi pendekatan terbaharu BMW terhadap segmen kenderaan mewah. Ia bukan sahaja untuk ditatap sebagai model produksi masa hadapan semata-mata, malah merupakan sebuah kajian kes tentang kemodenan, kemewahan dan kehadiran yang akan menetapkan tanda aras terbaharu dalam segmen tersebut.
Concept X7 iPerformance merupakan kesinambungan terhadap saiz yang sempurna, ruangan dalaman bagi enam individu yang direka dengan material bertaraf tinggi dan sistem infotainment canggih yang dilengkapi dengan kelebihan keterhubungan.
Lencana ‘iPerformance’ pula melambangkan kehadiran teknologi BMW eDrive yang digandingkan dengan enjin petrol BMW TwinPower Turbo untuk menghasilkan powertrain plug-in hybrid yang sangat efisien dan dinamik.
BMW Concept X7 iPerformance akan dipamerkan secara eksklusif di Bangsar Shopping Centre bermula hari Rabu, 18 Julai 2018 sehingga hari Ahad, 22 Julai 2018 sewaktu berlangsungnya BMW X Range Roadshow.
No Comment