Ducati Scrambler 1100 Tiba di Malaysia – Harga dari RM83,000
Next Bike Sdn Bhd secara rasminya telah melancarkan model yang ditunggu-tunggu iaitu Ducati Scrambler 1100 di acara Art of Speed 2018 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Bagi pasaran Malaysia, dua varian akan ditawarkan iaitu Special pada harga RM83,000 dan Sport pada harga RM85,000. Harga yang dinyatakan adalah dengan 0% GST.
Varian Special didatangkan dalam warna Custom Grey dengan rangka dan roda berwarna hitam serta fork berwarna emas, manakala varian Sport menampilkan warna Viper Black yang dipadankan dengan jalur berwarna kuning pada tangki dan madgad.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin 1,079 cc L-berkembar yang menghasilkan kuasa maksimum 86 hp pada 7,500 rpm dan tork maksimum 88.4 Nm pada 4,750 rpm. Ianya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac multi-plate basah yang mempunyai fungsi ‘slipper’ bagi mengurangkan ketidakstabilan ketika menurunkan gear.
Tetapan casis Scrambler 1100 merangkumi rangka keluli trellis serba baharu dengan subframe aluminium yang memegang enjin. Varian Sport mendapat suspensi Ohlins (berbanding suspensi Kayaba pada varian Special) dengan fork terbalik berukuran 45 mm dan penyerap hentak belakang dengan spring preload dan rebound damping.
Sistem brek pula terdiri daripada dua cakera masing-masing berukuran 330 mm dengan angkupp Brembo Monobloc di hadapan, dan satu cakera 245 mm dengan angkup satu omboh di belakang. Ciri elektronik yang ada pula termasuklah tiga mod tunggangan (Active, Journey dan City), Cornering ABS dan Ducati Traction Control.
Untuk memantapkan lagi aspek selepas jualan, Next Bike menawarkan program Ducati Smart Service dengan servis percuma selama dua tahun atau 30,000 km untuk alat ganti dan minyak pelincir, termasuk servis Desmodromic. Ia merupakan tambahan kepada jaminan dua tahun sedia ada dan boleh didapati di semua pengedar sah dan pusat servis Ducati di seluruh negara.
No Comment