Fazrul Kembali ke Litar Cub Prix
Juara CP130 2015, Ahmad Fazrul Sham kembali ke litar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bermula pada pusingan kedua yang akan berlangsung di litar MAEPS, Serdang, Selangor pada 7 dan 8 Julai ini.
Pelumba berusia 33 tahun itu akan membawa cabaran pasukan AHM Yamaha Nanoplus Racing dan akan bergandingan bersama Mohd Iqbal Amri Abd Malek dan Mohd Rozaiman Said setelah terlepas aksi pusingan pembukaan di Litar Tangkak, April lepas.
Tahun 2017 juga menyaksikan Ahmad Fazrul terlepas dua aksi pusingan awal kejuaraan dan menyaksikannya sekadar menamatkan musim di tangga ke-15 keseluruhan dengan 29 mata.
“Beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan menyebabkan saya tidak dapat beraksi. Saya mengalami patah bahu sebelum perlumbaan di Tangkak bermula. Mujurlah selepas itu kejuaraan berhenti rehat panjang dan saya hanya terlepas satu perlumbaan. Ketika ini semuanya telah selesai dan saya berharap dapat memulakan aksi dengan baik di MAEPS minggu ini,” jelas Fazrul.
“Walaupun terlepas aksi pusingan pembukaan di Tangkak, saingan masih berbaki sembilan pusingan. Walaupun tidak meletak sasaran tinggi, saya berharap sekurang-kurangnya dapat menamatkan saingan di kedudukan lebih baik berbanding musim lepas.”
No Comment