Hi-Rev Perkenal Pasukan Lumba Bagi 2018 – CSK, Jobaru Piaww dan Dream Chaser
Hi-Rev Racing telah memperkenalkan pasukan-pasukan satelitnya bagi tahun ini iaitu Hi-Rev SCK, Hi-Rev Jobaru Piaww dan Hi-Rev Dream Chaser.
Hadir pada majlis pelancaran adalah pengurus besar Hi-Rev, Valerie Poon, pengetua pasukan, Soong Chee Kiong (SCK), Md Sees (Jobaru Piaww) dan CY Ong (Dream Chaser) serta dua pelumba muda dari program bakat muda Hi-Rev iaitu Adam Khalid dan Danial Bogers.
Hi-Rev akan bertanding dengan 15 jentera (13 motosikal dan dua kereta) pada tahun ini dalam beberapa kejohanan seperti Asia Road Racing Championship, Kejohanan Cub Prix Malaysia, Kejohanan Superbike Malaysia, MSF Superbikes, King of 2T, Siri Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) dan Siri Kejohanan Malaysia (MCS).
Bagi Siri Perlumbaan MSF, Hi-Rev akan mempertaruhkan sebuah Proton Saga dalam Saga Cup dan sebuah Proton Satria Neo dalam kelas Race Car 1600. Model hatchback itu juga akan digunakan bagi perlumbaan MCS tahun ini.
Pusingan pertama Kejohanan Superbike Malaysia menyaksikan Hi-Rev bersaing dalam kebanyakan kelas yang dipertandingkan dan memenangi tempat pertama bagi kelas Superstock, kedua dan ketiga dalam Supersport dan kedua dalam Super 250.
Bogers buat masa ini menduduki tangga kedua dalam kelas Super 250 sementara pelumba-pelumba pasukan SCK Rapido Hi-Rev berada pada kedudukan pertama dan ketiga dalam kelas Supersport.
Hi-Rev juga akan menghantar dua buah Kawasaki Ninja 250R untuk dipertandingkan dalam kelas Super 400 dalam kejohanan MSF Superbike, dan tiga buah Kawasaki KIPS 150RR dalam kategori dua lejang bagi kejohanan King of 2T.
Pada majlis yang sama, Hi-Rev turut melancarkan minyak pelincir sintetik sepenuhnya premium terbarunya iaitu TorQe Pro 5W-40. Ia mengandungi campuran PAO dan teknologi Ester Plus untuk prestasi terbaik serta perlindungan terhadap tekanan haba. Ia dijual pada harga RM280 bagi pek 4 liter.
No Comment