Lamborghini Aventador SVJ Kereta Produksi Terpantas di Nurburgring!
Walaupun masih belum didedahkan sepenuhnya, Lamborghini Aventador SVJ telah membuktikan kehebatannya dengan catatan 6 minit 44.97 saat di litar Nurburgring, sekaligus menjadikannya kereta siri produksi terpantas di litar tersebut.
Menjadikan kejayaan ini lebih manis, pengeluar supercar dari Itali itu juga berjaya mengalahkan seteru utamanya, Porsche yang merekodkan 6 minit 47.3 saat dengan jentera terpantas mereka iaitu 911 GT2 RS pada tahun lalu.
Aventador SVJ yang masih dibalut pelekat penyamaran itu dipandu oleh pemandu rasmi Lamborghini, Marco Mapelli. Jentera tersebut dilengkapi dengan kamera, sistem telemetri, GPS serta VBOX-Racelogic bagi memastikan masa yang direkodkan adalah tepat.
Lamborghini masih belum mendedahkan spesifikasi Aventador SVJ namun mengikut Ollie Marriage dari Top Gear, jentera itu mempunyai 760 hp dan 720 Nm, iaitu 10 hp dan 30 Nm lebih tinggi berbanding Aventador SV.
Apa yang menjadikannya ia begitu pantas di litar adalah sistem aerodinamik aktif ALA 2.0, serta peningkatan pada sistem pacuan semua roda, kawalan stereng roda belakang dan ESC. Ia menampilkan Pirelli P Zero Corsa sebagai tayar standard, namun untuk percubaan ini tayar Pirelli P Zero Trofeo R digunakan.
Ia dijangka akan didedahkan sepenuhnya di acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, California pada penghujung bulan Ogos ini.
No Comment