Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd Membuka Cawangan 3S Serba Baharu Secara Rasmi
Baru sahaja melancarkan cawangan 4S yang pertama pada bulan lepas, PROTON mengumumkan pembukaan rasmi cawangan 3S baharu, Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd (“Pantai Bharu”). Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON telah merasmikan majlis tersebut yang turut disertai oleh Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar dan barisan pengurusan kanan PROTON.
Sebelum ini, cawangan tersebut beroperasi sebagai pusat 1S dan 2S di dua premis yang berasingan. Namun, untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan selaras dengan standard keperluan yang ditetapkan oleh PROTON, pihak pengurusan Pantai Bharu membuat keputusan untuk melabur dan mengembangkan perniagaannya kepada cawangan 3S dan mengendalikannya di bawah bangunan baharu yang dibina di Jalan Kapar, Klang.
Dato’ Shamshudin Nor, pemilik dan pemegang saham yang telah menjalankan perniagaan selama 32 tahun lalu percaya bahawa, “Untuk berjaya, kita perlu bergerak seiring dengan perubahan masa dan kekal relevan. Keadaan pasaran sentiasa berubah. Apa yang laku pada hari ini, mungkin tidak akan laku hari esok. Justeru, tujuan berpindah ke kawasan baharu adalah untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Kawasan yang baharu ini akan menyediakan kemudahan sebagai pusat sehenti bagi jualan, servis dan alat ganti kepada pelanggan”.
“Cawangan baharu ini dilengkapi 12 petak penyelenggaraan, 8 servis pengangkat, ruangan yang mampu menempatkan sebanyak 35 tempat duduk pelanggan, 3 ruang penyerahan kereta dan 70 petak tempat letak kereta pelanggan. Di samping itu, kami juga menyediakan ruangan bagi kanak-kanak untuk bermain, ruangan minuman dan untuk mengecas telefon/komputer riba bagi pelanggan bersantai dan berehat, serta WIFI percuma untuk memastikan pelanggan sentiasa berhubung,” kongsi Dato’ Shamshudin.
Terletak di sekitar kawasan yang turut menjual kereta jenama lain di Jalan Kapar, pemilik veteran itu tidak gentar akan persaingan, malah mengalu-alukannya. Lokasi yang terletak di kawasan komersil yang sibuk sebenarnya akan menjadi tumpuan kepada pengguna untuk membeli dengan mudah, kerana mereka dapat melihat dari satu bilik pameran ke bilik pameran yang lain bagi mendapatkan tawaran-tawaran terbaik.
Beliau turut menambah, “Kami yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan ke bilik pameran kami dengan penampilan yang baharu dan segar ini, pencahayaan yang lebih terang dan suasana dalaman dan luaran yang lebih harmoni. Ini sekaligus akan mendorong kepada tahap jualan dan perkhidmatan yang meningkat. Kami menjangkakan peningkatan 100% dalam jualan dan servis pada permulaan penambahbaikan ini”.
Majlis ini juga memperlihatkan penyerahan sebanyak 3 buah kereta baharu kepada pelanggannya.
Sehingga 30 Jun, PROTON mempunyai 87 cawangan yang telah bersedia untuk menaiktaraf kepada 3S dan 4S, lebih cepat daripada yang dijangkakan dalam masa dua bulan. Ini adalah pencapaian 80% berbanding sasaran 109 cawangan, yang akan siap pada Oktober tahun ini. Di samping itu, PROTON juga mencatatkan jualan lebih daripada 50% berbanding Mei 2018 dan ini menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak kira-kira 10%, dengan Saga dan Persona mendahului jumlah jualan, dengan peningkatan sebanyak 70% dan 56% berbanding bulan sebelumnya.
Kini anda boleh memiliki sebuah Saga dengan harga di bawah RM30,000*. Juga terdapat penjimatan yang hebat untuk setiap model kereta sehingga RM13,888*. Luangkan masa untuk berkunjung ke mana-mana cawangan PROTON dan dapatkan tawaran terkini*.
Dari segi kualiti, kereta Proton telah mencatatkan peningkatan kualiti dan titik demerit yang lebih rendah, mengikut pelaksanaan sistem Audit Produk Pelanggan Global (“GCPA”) yang diukur mengikut standard kualiti VOLVO. Pada Jun 2018, mata demerit telah bertambah 3 kali ganda dan setakat ini, skor demerit yang dicatatkan ialah 1,763 mata. Melalui pencapaian ini, PROTON yakin untuk mencapai titik demerit sasaran sebanyak 1,500 menjelang akhir tahun ini. Semakin rendah mata demerit, semakin tinggi peningkatan pada kualiti produk.
“Dengan penaiktarafan cawangan yang kini berjalan lancar, ditambah pula dengan peningkatan jualan dan kualiti dari bulan ke bulan, kami yakin bahawa PROTON akan mencuri perhatian di pasaran. Di samping perkembangan pada kereta-kereta kami, bermula dari Saga dengan harga yang berpatutan dan pemanduan stabil, Persona dengan pengendalian yang praktikal dan lancar, keselamatan dan teknologi yang hebat dalam model Iriz, sehingga kepada model Exora yang lebih selesa dan luas, dan model pelbagai guna dan jimat minyak Ertiga, kami sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan. Oleh itu, penaiktarafan pada cawangan dengan kemudahan dan servis yang ditambahbaik, serta rupa yang segar dan baharu merupakan titik permulaan bagi PROTON untuk memenangi hati dan minda pelanggan kami. Kami tahu, produk yang berkualiti baik membolehkan kami menjual lebih banyak kereta, akan tetapi servis yang baik lebih berkesan untuk menarik pelanggan agar setia bersama PROTON. Inilah yang sedang kami usahakan sehingga berjaya,” kata Dr Li.
No Comment