PDRM Terima 15 Unit Mitsubishi Outlander 2.4 Daripada PLUS
Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menerima 15 unit Mitsubishi Outlander 2.4 yang disumbangkan oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Majlis penyerahan telah diadakan di Persada PLUS, Subang Jaya dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, kenderaan tersebut dikenali sebagai Helang Lebuhraya Polis dan akan digunakan sebagai peronda lebuhraya (EMPV). Ia dijangka akan membantu meningkatkan keberkesanan dalam penguatkuasaan undang-undang lalu lintas terutamanya semasa musim perayaan.
“Keselamatan adalah kekuatan utama Mitsubishi Outlander, sesuai dengan peranannya sebagai kenderaan keluarga. Tetapi kini, kami gembira dapat mengetahui bahawa selain menjadi salah satu kenderaan paling selamat di atas jalan raya, Outlander juga memenuhi setiap keperluan PDRM untuk membantu mereka menguatkuasakan undang-undang lalu lintas di lebuhraya,” kata Shinnishi.
Dalam satu majlis berasingan, PDRM turut menerima lapan buah kereta Mitsubishi yang terdiri daripada model Outlander dan ASX yang disumbangkan oleh ANIH Berhad. Nilai anggaran sumbangan yang dibuat oleh kedua-dua konsesi tersebut adalah RM3 juta.
No Comment