Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton 2018 Cungkil Bakat Kakitangan
Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton 2018 yang julung kali diadakan ini akan berlangsung bermula dari 20 Julai hingga 19 Ogos 2018. Ia akan melibatkan ratusan kakitangan lepas jualan dari pelbagai cawangan pengedarnya di mana mereka akan diuji untuk membuktikan kemahiran, kepantasan dan ketepatan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif pengurusan bakat Proton.
Dilihat sebagai salah satu landasan untuk semua kakitangan lepas jualan di seluruh negara mempamerkan kebolehan dan kualiti kerja mereka dalam mengendalikan kereta-kereta pelanggan, pertandingan ini menawarkan lawatan insentif dan hadiah wang tunai bernilai RM50,000 kepada para pemenang.
“Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Proton untuk meningkatkan kemahiran juruteknik kami bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan juga memberikan ganjaran kepada mereka yang mempamerkan kebolehan yang hebat,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
Pada peringkat daerah, para peserta akan diberi tugas membaik pulih enjin di mana mereka dikehendaki membuka dan memasang semula enjin Proton VVT dalam masa tiga jam. Mereka akan dinilai berdasarkan kelajuan, ketepatan dan kecekapan penyelesaian masalah sepanjang proses tersebut.
“Pemenang akan mengikuti lawatan insentif ke Shanghai, China, di mana mereka berpeluang untuk melangkah kaki ke ibu pejabat dan Pusat Penyelidikan Geely. Lawatan ini secara tidak langsung akan membuka mata juruteknik tempatan kami untuk meneroka dengan lebih mendalam tentang keupayaan Geely dalam mereka bentuk dan membangunkan kenderaan yang lengkap,” tambah Rashid.
No Comment